Tunku Aziz gagal batalkan saman fitnah Mukhriz kabarmalay3.blogspot.com

MALAYSIAKINI
 


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hari ini gagal membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke atas dirinya.

Saman itu berhubung dakwaan Tunku Abdul Aziz bahawa wujud pakatan sulit antara bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang untuk mengangkatnya sebagai perdana menteri.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Nordin Hassan memutuskan saman fitnah iu harus diteruskan atas alasan terdapat isu untuk dibicarakan.

"Bukti ini perlu dibentangkan dalam perbicaraan. Terdapat isu serius yang perlu dibicarakan,” katanya.

Hakim Nordin mengarahkan Tunku Abdul Aziz yang juga adalah pengerusi lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membayar kos RM4,000.

Beliau juga memerintahkan supaya pendengaran saman fitnah itu diadakan pada 11, 12, 18 dan 19 Januari tahun depan.

Kenyataan Tunku Abdul Aziz itu disiarkan dalam sebuah blog bertarikh 30 Disember tahun lalu dan 1 Januari tahun ini.

Dalam penyata tuntutannya pada Februari lalu, Mukhriz antaranya berkata dakwaan Tunku Abdul Aziz itu menggambarkan beliau tidak telus dan jujur dalam kerjaya politik, membelakangkan rakyat dan gila kuasa.

Kenyataan itu juga menggambarkan beliau mengamalkan politik licik dan kotor serata mengikut telunjuk bapanya.

Mukhriz telah membuat akuan berkanun dalam satu afidavit yang menafikan cita-cita menjadi perdana menteri dalam konteks komplot dan pakatan jahat yang diungkapkan.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi berterusan dan ganti rugi teladan dalam jumlah yang ditaksirkan oleh mahkamah.

Mukhriz, kini timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), juga memohon perintah menegah defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan senada atau serupa.


Subscribe to receive free email updates: