Dr M: JPPM mungkin tolak logo PH kerana kerajaan ‘takut’ kabarmalay3.blogspot.com

 
Pengerusi PH ramal kerajaan takut pada gabungan pembangkang dan akan menolak permohonan mereka 3 hari sebelum pilihan raya.


mahathir-mohamad-pakatan-harapan-ros-malaysia-1


KUALA LUMPUR: Ada kemungkinan besar Pakatan Harapan tidak akan dibenarkan menggunakan logo bersama yang dicadang pada pilihan raya umum ke-14 kerana kerajaan takut pada gabungan pembangkang, kata Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan takut kalah, jadi mereka akan umum 3 hari sebelum pru supaya kita tidak ada logo.
“Kita jangkakan kerajaan buat apa sahaja tindakan untuk kecewakan kita,” katanya pada sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen hari ini.

Ketika ditanya sama ada PH mempunyai “pelan B”, beliau secara berseloroh berkata, “Pelan B tak boleh beritahu”.


Beliau bagaimanapun menambah PH akan mengumumkan beberapa tindakan susulan nanti.

PH menyerahkan draf perlembagaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 24 Julai dan logo gabungan itu pada 28 Julai. JPPM kemudian mengarahkan PH menggunakan nama penuh “Pakatan Harapan” pada logo itu, menggantikan “Harapan”.

Gabungan itu kemudian meminda logo tersebut dan menyerahkan rekaan terbaharu itu seperti yang diminta JPPM.

Pada 11 September lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata gabungan itu masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung permohonan pendaftaran dan logo baharu.

Di Dewan Rakyat semalam, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis berkata JPPM masih menilai permohonan PH yang mahu didaftarkan sebagai sebuah parti politik dengan logo terbaru itu.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata jawapan itu tidak mencukupi.

“Kementerian tak beri sebab mengapa ambil masa panjang untuk menentukan sama ada kesalahan dilakukan oleh kami. Kami berjanji patuh segala sayrat yang munasabah yang dikenakan kepada kami supaya dapat diluluskan segera,” katanya.

Dr Mahathir ditanya sama komponen parti PH melakukan kesilapan apabila mahu bertanding sebagai satu gabungan kerana mereka mudah menang menggunakan logo parti masing-masing.

“Kita hendak semua parti sokong satu calon kerana ia membawa PH. Jika dijadikan calon PH semua anggota PH akan sokong calon itu.”

Dr Mahathir tertawa apabila ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding pada PRU14 nanti, sementara pemimpin PH lain yang hadir pada sidang media itu kelihatan teragak-agak untuk membenarkan beliau menjawab soalan itu.

“Mereka tak ada cadangkan,” katanya.

Ketika ditanya kerusi pilihan beliau sekiranya beliau mahu bertanding pada pilihan raya nanti, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Malaysia”.

Subscribe to receive free email updates: