Penghapusan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan cukai mewah bagi golongan kaya antara fokus utama Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) dalam cadangan bajet 2018 yang bentangkan hari ini.
Bagaimanapun, GST hanya akan dihapuskan dalam tempoh tiga tahun atas sebab implikasi undang-undang, namun tiada kutipan dibuat sehingga ia dimansuhkan.
Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, adalah mustahil untuk Pas memansuhkan serta merta sistem itu seandainya memenangi PRU14 memandangkan ia terikat dengan undang-undang serta akta negara yang perlu dipatuhi.
Beliau berkata, pelaksanaan GST yang dikenakan ketika ini jelas memberi bebanan yang cukup besar kepada rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan kerana cukai turut dikenakan ke atas barangan keperluan harian.
“Kita sasarkan untuk mansuh GST dalam tempoh tiga tahun (selepas memerintah), namun sepanjang tempoh itu tiada kutipan dibuat, tetapi akta(GST) tetap ada. Setiap cadangan atau manifesto yang Pas ingin laksanakan adalah perlu realistik dan kita perlu sedar bahawa kita masih lagi terikat dengan undang-undang negara yang perlu dipatuhi.
“Namun, jelas sini, fokus kita adalah ingin hapuskan GST dan dalam masa yang sama kita cadangkan alternatif lain seperti menaikkan cukai simpanan korporat, cukai keuntungan perniagaan saham dan cukai mewah bagi golongan kaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pembentangan Bajet Malaysia 2018 (Alternatif) Perspektif DPPM di Hotel Tabung Haji dan Pusat Konvensyen, di sini, hari ini.