Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najb Tun Razak pada Jumaat lepas tidak dapat menyelesaikan isu sebenar kesengsaraan rakyat.
Banyak insentif yang diumumkan adalah bersifat 'one off' yang tidak menguntungkan rakyat secara jangka panjang. Ia umpama ubat penahan sakit sementara yang hanya menghilangkan sakit dalam masa yang singkat dan selepas itu sakit itu datang kembali.
Kerajaan sepatutnya mengkaji punca utama kesengsaraan rakyat dan setelah diketahui puncanya maka langkah-langkah pembetulan untuk mengatasi masalah itu mesti diambil bagi meringankan beban rakyat dalam jangka masa panjang.
Masalah rakyat sekarang adalah peningkatan kos hidup yang semakin tinggi antaranya disebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta juga peningkatan harga minyak. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini adalah berkaitan rapat dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak.
Oleh itu kerajaan sepatutnya menangani masalah GST dan kenaikan harga minyak ini sebagai langkah paling utama bagi membantu meringankan beban rakyat semakin hari semakin tertekan dan menderita.
Jadi langkah paling effektif bagi meringankan beban rakyat ini jelas sekali ialah dengan menghapuskan GST dan mengawal harga minyak tidak terus meningkat. Dengan penghapusan GST ini harga barang boleh dikawal dan diturunkan. Begitu juga dengan kenaikan harga minyak yang menjadi antara kos barangan dan perkhidmatan kerana peningkatan kos pengangkutan. Jika harga minyak tidak meningkat serta harga bahan juga tidak meningkat maka tidak ada sebab untuk harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sesuka hati.
Jadi langkah kerajaan yang mengekalkan pelaksanaan GST dan tiada langkah mengawal harga minyak serta barangan dalam Bajet 2018 benar-benar mengecewakan rakyat. Sepatutnya kerajaan mencontohi Bajet 2018 Pakatan Harapan yang jelas berjaya mencadangkan langkah-langkah konkrit untuk mengurangkan beban rakyat.
Pemberian 'one off' seperti BR1M, RM1,500 kepada kakitangan awam dan lain-lain adalah hanya langkah sementara yang tidak mampu membantu rakyat untuk meneruskan kesejahteraan hidup pada jangka masa panjang.
Kerajaan sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat dengan memperkenalkan bantuan 'one off' dan beberapa skim baru yang sesetengahnya ditiru dari kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Namun mereka lupa bahawa rakyat sekarang sudah cerdik dan mampu untuk berfikir jauh ke hadapan tidak seperti masa lampau. Rakyat hari ini akses kepada maklumat alternatif tidak seperti masa lampau di mana rakyat hanya disumbat dengan maklumat dari RTM, TV3 dan media cetak yang berpihak kepada kerajaan semata-mata.
Hari ini rakyat mempunyai media elektronik, media sosial dan media maya yang diakses di hujung jari sahaja.
Jelas sekali Bajet 2018 gagal untuk meringankan beban rakyat terutama golongan miskin di seluruh negara.