Kuala Lumpur 27 Okt – Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan 1MDB, sudah melakukan sekurang-kurangnya 4 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, kata seorang bekas hakim.
“Berdasarkan fakta tidak seberapa daripada dokumen yang didedahkan di ruang awam, jelas beliau sudah melakukan sekurang-kurangnya 4 kesalahan,” kata Datuk Seri Gopal Sri Ram lapor FMT.
Beliau menjawab bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang berkata pendakwaraya hanya boleh bertindak terhadap ahli perniagaan itu, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sekiranya beliau menyalahi undang-undang negara.
“Saya mahu tahu apakah kesalahan yang sudah beliau lakukan di Malaysia,” kata Nazri ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan, yang mengatakan tiada kes terhadap Jho Low di Malaysia.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa seluruh dunia tahu mengenai Jho Low dan kesalahan yang didakwa dilakukan ahli perniagaan itu tetapi Malaysia pula tidak.
Sri Ram berkata Jho Low sudah melakukan pecah amanah ke atas harta yang diamanahkan kepada beliau.
Kedua, Jho Low boleh didakwa kerana menipu, katanya.
“Beliau juga boleh berdepan pendakwaan kerana berkomplot untuk melakukan pecah amanah dan bersubahat dalam pecah amanah,” tambahnya.
Sri Ram tidak bersetuju dengan Nazri mengenai pendapat Jho Low tidak melakukan sebarang kesalahan dalam negara.
“Polis berhak memburu beliau sebagai seorang pelarian dari undang-undang dan bersetuju dengan tindakan yang diambil polis seperti yang didedahkan timbalan perdana menteri di Dewan Rakyat pada Selesa,” katanya.