Dr M Ragu Kelayakan Raus Kerana "Bersetuju" Najib Bukan Penjawat Awam kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir meragui kelayakan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif kerana bersetuju Datuk Seri Najib Razak bukan seorang penjawat awam walaupun seorang ketua kerajaan.

“Saya mempunyai keraguan mengenai kelayakannya berkenaan keputusannya pada hari ini. Pada saya, dia tidak seharusnya mendengar kes ini,” katanya sewaktu ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membuang permohonan Dr Mahathir dan bekas ahli PPBM Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, memohon kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah iaitu Najib bukan seorang penjawat awam.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada April tahun lepas menyebabkan Najib tidak boleh disaman kerana dakwaan misfeasans. Mahkamah Rayuan pada Ogos membuang rayuan kerana tiada merit.

Raus berkata panel mendapati ada persoalan perlembagaan dan undang-undang untuk diputuskan dalam kes ini tetapi mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Saya tidak faham…dia pegawai awam. Jika tidak, dia tidak akan berada di mana dia berada pada hari ini. Setiap keputusan yang dilakukannya melibatkan kerajaan dan masyarakat. Sudah tentu saya sedih dengan keputusan ini,” kata Dr Mahathir.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan pelantikan Raus dan menghalangnya menjalankan tugas kehakiman dan pentadbirannya.

Namun, ia ditolak Mahkamah Tinggi.

Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina memfailkan saman RM2.6 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lepas dan menamakan Najib sebagai defendan tunggal.

Mereka mahu menuntut Najib membayar semula RM2.6 bilion, yang disalurkan ke akaunnya, dan tambahan RM42 juta yang dikatakan daripada dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. #sumber

Subscribe to receive free email updates: