Subsidi haji, Mujahid dan nisan serta siapa jahat? kabarmalay3.blogspot.com

Kenapa urusan umat Islam hendak diambil kira sangat sekarang?

MAKCIK Minah merenung kejauhan malam dari tingkap rumah pusaka tinggalan suaminya yang sudah beberapa kali dibaik pulih. Hening malam dikejutkan dengan guruh di langit. Nak hujan lagi, fikir Makcik Minah. Bendang dua relong sudah ditarah, padi sudah dijual.
Namun, jika hujan bererti pokok getah seluas serelong di belakang rumahnya tidak dapat ditoreh lagi. Berlinang air matanya mengenang arwah suami yang terbongkok-bongkok menoreh, mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk ke Makkah menunaikan Rukun Islam kelima mereka berdua.
“Memanglah haji untuk yang berkemampuan. Tapi kita kena berusaha untuk menjadi mampu supaya dapat naik haji”. Kata Pak Mail suatu petang sambil mencelup biskut empat segi dalam kopi yang disediakan Makcik Minah.
Merenung basah hujan di tanah luar rumah mereka, Pak Mail meneruskan “Tabungan kita pun belum cukup. Entah berapa musim padi lagi. Aku ingat nak jual sahaja tanah kebun getah tu.” Makcik Minah terus mengingati tiap detik hasrat suaminya itu.
Tapi belum kesampaian, Pak Mail pergi dahulu dipanggil Illahi. Suatu pagi, suaminya rebah ketika menoreh dan dua hari kemudian Pak Mail menghadap Illahi. Kini, Makcik Minah mengupah orang menoreh. Anaknya, Milah dan Harun bekerja di bandar tapi masih tinggal bersamanya.
Pada usia 70 tahun, Makcik Minah sudah ada simpanan dalam Tabung Haji (TH) sebanyak RM13,000 yang dikumpul bersama suami sejak berusia 30-an. Anak lelaki dan perempuannya juga masing-masing ada simpanan RM12,000.
Gilirannya untuk naik haji melalui muasasah TH lagi 10 tahun, sedang kesihatannya semakin merosot. Makcik Minah buat rayuan kepada TH untuk ‘potong giliran’. Pada masa sama dia perlu membawa peneman – anak lelaki dan perempuan. Tak boleh bawa anak lelaki sahaja sebab anak lelakinya tidak boleh tinggal bersamanya di Tanah Suci. Kena bawa anak perempuan sama.
Rayuannya berjaya. Ketika hadir di pejabat TH, Makcik Minah diberitahu dia kena bayar RM22,900 seorang. Dua anaknya juga perlu bayar jumlah yang sama tiap seorang. Keseluruhannya RM68,700. “Allahu Akbar”. Kata Makcik Minah.
Disangkanya, mereka hanya akan dikenakan bayaran RM9,980 seorang. Tetapi dalam laman Facebook rasmi TH – Official : Lembaga Tabung Haji (http://bit.ly/2GMd4WU) dimaklumkan bahawa jemaah yang berjaya dalam rayuan kena bayar RM22,900. Demikian juga kepada peneman.
Semalam, Ismaweb.net turut membuat pendedahan mengenai langkah TH yang tidak akan beri subsidi haji kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan. Subsidi kerajaan RM12,920 juga tidak akan diberi kepada pengiring atau peneman mahram.
Maklumat mengenai perkara itu bukan dibuat menteri yang bertanggungjawab ke atas TH. Tapi maklumat berkenaan ‘terdedah’ secara tidak langsung ketika TH menjawab persoalan dibangkitkan netizen dalam laman Facebook mereka. (KLIK DI BAWAH)
Kesian Pedang pada Mujahid Yusof Rawa kena hentam kiri kanan sejak jadi menteri. Lagi kesian Pedang kepada rakyat, terutama umat Islam dan dan bangsa Melayu yang kena tipu. Bertambahlah kesian kepada jemaah haji tahun ini yang berjaya dalam rayuan mereka, serta peneman-peneman seperti Makcik Minah.
Mujahid seorang menteri yang bagus. Dalam Wikipedia tertera beliau ada Ijazah Sastera Bahasa Arab daripada Universiti Al-Azhar, Mesir; ada Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM); dan ada juga Ijazah Kedoktoran Sains Politik daripada Universiti Malaya (UM).
Tak hairanlah kalau setakat nahu, sorof, insya’, mutola’ah, nusus, balaghah, mantiq, qawaid, al-‘arudh, al-qofiyah, maharat al-qira’ah, maharat al-muhadathah wa al-khatabah, maharat al-kitabah, maharat al-istima’ wa al-Fahm dan lain-lain menjadi makanan Mujahid. Dan, sesuai sangatlah beliau menjadi menteri agama, membuat fatwa mengikut pemahamannya.
Cuma, dulu-dulu pun ramai menteri agama yang sama hebat kelulusannya seperti Mujahid, termasuk Tan Sri Yusof Noor, dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Tapi, tak kuat sangat main politik.
Bukan Pedang nak kata kerajaan dahulu bagus, kerajaan sekarang tak bagus. Tetapi, sekurang-kurangnya kerajaan dahulu tidak kisah pun untuk memberi subsidi kepada semua jemaah haji, miskin kaya.
Menerusi TH dahulu, semua umat Islam tak kira kaya atau miskin dapat mengerjakan haji dengan murah jika mereka menggunakan khidmat muasasah TH. Ada subsidi disediakan kepada semua jemaah.
Dulu tak ada masalah pun, sama ada yang mendapat giliran automatik atau perayu dan peneman mahram masing-masing untuk naik haji dengan perbelanjaan yang sama rata – RM9,980. Mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM12,920.
Tapi sejak kerajaan yang dimonopoli DAP mengambil alih pentadbiran negara, walaupun menteri agamanya adalah Melayu dan Islam, sudah semakin gelisah umat Islam dibuatnya. Tahu apa parti DAP? Cuba baca sejarah parti ini!
Polisi dibuat semakin menyepit umat Islam. Dikikis sedikit demi sedikit. Dihiris hingga halus dan lama kelamaan hilanglah keistimewaannya. Terbaharu mengenai bayaran mengerjakan haji.
Tabung Haji tempat umat Islam menyimpan wang – seperti Makcik Minah – dengan hanya satu niat semata-mata iaitu untuk mengerjakan haji – Rukun Islam kelima.
Sejak isu tak bagi subsidi kepada jemaah rayuan dan peneman menjadi panas, Mujahid ‘melepaskan diri dan Pakatan Harapan (PH)’ dengan memberitahu bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.
Memanglah, kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu. Takkan berani mana-mana parti yang menjadi kerajaan membuat kenyataan tak bagi subsidi haji, tidak kira sama ada kepada jemaah ikut giliran atau jemaah yang merayu dan pengiring mereka.
Kata Mujahid lagi seperti dipetik daripada berita Bernama: “Hari ini tular, mungkin berniat jahat, ditulis tiada subsidi kepada yang merayu atau mengiringi.” Inilah yang dikatakan kehebatan ijazah bahasa Arab, MA sumber manusia dan PhD sains politik, hingga boleh tahu niat seseorang, sedangkan urusan niat hanya Allah sahaja yang tahu.
Siapa yang jahat? Sembunyi fakta daripada umat Islam tak jahat? Jemaah haji merayu jahat?  TH jahat? Memberi tekanan kepada umat Islam tak jahat? Yang tak jahat menteri yang tak cakap benar. Berselindung di sebalik sijil…
Yang jelas, niat Pedang dalam isu ini yang hanya Allah sahaja yang tahu ialah membantu umat Islam yang hendak mengerjakan haji, supaya mereka mendapat hak sama rata dengan jemaah lain, tanpa mengira kedudukan, seperti tahun-tahun sebelum ini. Lebih utama kepada jemaah yang miskin dan tak mampu menyediakan RM22,900.
Mujahid juga kata beliau akan bertemu TH bagi mencari mekanisme sesuai untuk menentukan pemberian subsidi bagi yang merayu atau pengiring mahram. Mekanisme berkenaan penting kerana adalah tidak adil jika subsidi turut diberikan kepada mereka yang berkemampuan.
Pedang juga kecewa dengan kenyataan TH semalam, tidak menyatakan dengan jelas mengenai subsidi itu, sebaliknya hanya memaklumkan bahawa mereka belum mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemohon rayuan haji yang berjaya.
“Sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan dengan berasaskan prinsip istito’ah (kemampuan). Surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya sahaja dalam masa terdekat. TH berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing,” kata TH.
Jemaah haji yang merayu sedang menunggu. Pengiring atau peneman juga sedang menunggu. Rakyat sedang menilai. Hari mengundi PRK Semenyih semakin dekat. Buatlah keputusan dan maklumkan.
Ingat kata Tun Dr Mahathir Mohamad: 
“Sekarang negara sedang memerhatikan kerajaan pembangkang ini melaksanakan janji-janji itu. Tetapi malangnya mereka (PH) mendapati diri mereka tidak dapat melaksanakan banyak janji mereka. Jadi, kini bermula pusingan seterusnya untuk memperlekehkan kerajaan.”
Isu pokok iaitu berapa kadar bayaran sebenar yang dikenakan kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring atau peneman mahram tidak pula dijelaskan. Tapi Pedang dapat maklumat pihak pengurusan tertinggi TH akan mengeluarkan kenyataan mengenainya tak lama lagi.
Suatu pagi Jumaat, Makcik Minah menziarahi kubur suaminya sendirian. “Tak kesampaian juga untuk naik haji, bang.” kata Makcik Minah. Dalam sendu, suara tersekat Makcik Minah menyebut ‘Allah’ sebelum rebah di sebelah batu nisan di hujung kaki Pak Mail.
Kata Pedang: Kenapa urusan mengenai umat Islam nak diambil kira sangat sekarang sedang harga minyak pula dirasai sama rata, oleh mereka yang berkemampuan. Jangan ingat orang kaya hanya guna RON97. Majoriti orang kaya-kaya pun guna RON95.
Penafian :Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net

Subscribe to receive free email updates: