Subsidi haji: Jangan tipu rakyat, kata Timbalan Presiden UMNO kabarmalay3.blogspot.com

Kredibiliti kerajaan PH dipersoal kerana batal subsidi jemaah haji rayuan dan pengiring dengan memberi alasan masalah kewangan Tabung Haji

SEMENYIH, 11 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring, bagi mengerjakan haji tahun ini.
Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui tujuan kerajaan PH membatalkan subsidi yang telah lama dinikmati oleh bakal-bakal jemaah haji sejak 2009.
Beliau yang kini menggalas tugas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, jumlah yang diperuntukkan juga bukan satu angka besar sehingga memaksa pihak kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil tindakan drastik sedemikian.
“Apa yang dibuat oleh kerajaan BN selama ini nampaknya mahu diubah suai oleh Pakatan Harapan. Tetapi, ia diubah kepada perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan menyusahkan rakyat pula.
“Itu lah yang dibuat PH… saya tak nampak mengapa perlu mereka buat begitu,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Dewan Seri Cempaka di sini, hari ini.
Malam tadi, Ismaweb.net menyiarkan laporan mengenai langkah terbaharu TH membatalkan subsidi itu yang dimaklumkan menerusi laman Facebook ‘Official-Lembaga Tabung Haji’, kelmarin.
Pengumuman mengejutkan TH itu mengundang rasa kecewa kebanyakan pengguna media sosial, yang rata-ratanya menyifatkan tindakan itu terlalu drastik tanpa memikirkan kesusahan rakyat mengumpul wang.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan menanggung RM12,920 subsidi untuk setiap mereka yang menunaikan haji kali pertama.
Katanya, subsidi itu diberi walaupun dalam keadaan tertekan berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh Tabung Haji.
Mengulas perkara itu, Mohamad berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengaitkan TH dengan masalah kewangan dan ekonomi negara, sebagai alasan membatalkan subsidi berkenaan.
“TH tidak pernah menggunakan dana negara dan tidak pernah gagal untuk memberikan subsidi kepada bakal jemaah haji kali pertama setiap tahun.
“Jangan ambil cerita ekonomi tidak baik dan sebagainya, duit TH ada. Jangan tipu rakyat,” katanya.
Sebelum ini, bakal haji termasuk jemaah rayuan dan pengiring hanya perlu membayar RM9,980 sahaja untuk mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, dan jumlah itu tidak pernah berubah sejak 2009.
Bagaimanapun, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini, kemudahan itu tidak lagi diberikan kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring mereka, walaupun tahun ini adalah kali pertama mereka mengerjakan Haji. - ismaweb 

Subscribe to receive free email updates: