Jangan cepat percaya skim rumah murah kabarmalay3.blogspot.com

 
Jangan cepat percaya skim rumah murah



Orang ramai diminta tidak terburu-buru mempercayai mana-mana skim yang menawarkan pembelian rumah pada harga yang murah bagi mengelakkan ditipu sehingga pembeli mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata beliau tidak menolak terdapat syarikat mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara mudah dengan menindas orang ramai yang mengidam memiliki kediaman sendiri.

“Kita bimbang bila ada pihak menawarkan rumah harga rumah tetapi sebenarnya sama ada rumah memang langsung tidak dibina, tidak boleh siap, kualitinya rendah atau ada juga kes status tanah yang tidak boleh dipecah sempadan di mana akhirnya mereka hanya ada geran besar bukan geran individu.

“Memang aneh bila ada yang menawarkan harga rumah sangat rendah sedangkan pemaju besar yang mempunyai kewangan besar sendiri terpaksa bergantung kepada projek perumahan yang lain untuk memastikan projek rumah mampu milik mereka siap.

“Kalau ada syarikat mendakwa mereka mampu menjual rumah dengan harga yang rendah kita perlu semak betul-betul sebab adakala ada sebab tertentu rumah ditawarkan dengan harga rendah,” katanya seperti dipetik SelangorKini.

Beliau berkata, orang ramai sepatutnya mengambil peluang melalui skim perumahan Rumah Selangorku yang ditawarkan Kerajaan Negeri yang jauh lebih terjamin berbanding dengan syarikat yang kononnya menawarkan harga rumah murah.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri turut menawarkan pelbagai skim sebagai pemudah cara untuk orang ramai memiliki kediaman sendiri seperti skim Selangor Smart Home Buyers dan lain-lain.


Subscribe to receive free email updates: