DAP tak percaya Amanah boleh tawan Kelantan, dakwa PAS kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Ainor Rahim & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA NERUS: PAS mendakwa hasrat DAP untuk bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang ekoran 'tidak percaya' kemampuan rakan komponennya, Amanah untuk menang.
 
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud sambil meluahkan rasa hairan dengan 'minat' yang ditunjukkan parti Cina itu, turut mempersoalkan kesediaan parti serpihannya membuka ruang kepada DAP bertanding di negeri yang ditadbir PAS sejak 1990 itu.
 
"Boleh dia (DAP) bebas. Kita demokrasi. Dia nak bertanding boleh lah. Tiada masalah. Cumanya, yang PAN (Amanah) bagi kat DAP itu pasal apa? 
 
"Kita nak tanya, boleh jadi DAP ini dia sendiri tidak percaya dekat Amanah. Sebab itu dia nak bertanding sendiri. Ataupun Amanah ini terpaksa terima DAP kerana dia 'alat' kepada DAP. 
 
"Sebelum ini DAP tidak pernah bertanding pun di Kelantan. Tapi dia nak bertanding tidak ada masalah lah, kita demokrasi. 
 
Beliau berkata demikian selepas ceramah Pre-Fastaqim yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, Terengganu, malam tadi.
 
Nasuruddin yang juga merupakan Exco Kelantan ketika ditanya peluang parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu untuk menang, beliau berkata parti itu berpeluang untuk hilang deposit sekaligus kalah bertanding pada PRU14 nanti. 
 
DAP dijangka bakal menampilkan calon mereka buat julung kalinya dikerusi DUN Kelantan pada PRU14 akan datang.
 
Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah turut mengesahkan parti itu yang kini sedang mengintai peluang untuk bertanding kerusi DUN di negeri Che Siti Wan Kembang berkenaan.
 
Bagaimanapun katanya, setakat ini, PH masih belum membincangkan soal agihan kerusi di peringkat DUN sebaliknya menumpukan di peringkat parlimen. 
 
Penyokong jangan percaya tuduhan Husam
 
Sementara itu, terdahulu dalam ucapannya dihadapan 500 penyokong parti itu, beliau ada menempelak bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang menuduh PAS mahu kerjasama Umno dan Barisan Nasional (BN). 
 
Semasa mengkritik Husam itu, ucapan Nasuruddin yang dikenali dengan gelaran 'singa PAS' itu terhenti seketika selepas tapak ceramah di Pantai Tok Jembal dilanda hujan lebat disusuli kilat dan guruh.
 
Cuaca buruk itu akhirnya menyebabkan bekalan elektrik terputus dan keadaan di tapak ceramah kelam kabut dengan penyokong cuba mencari tempat berteduh.
 
"Yang seorang lagi dia (Husam) jual sumbu pelita. Sehari dua ini dia kata PAS berbincang dalam program di Pulau Pangkor dan sedang dilemma hendak berpakat dengan Umno kemudian masuk BN, sedangkan dalam program berkenaan sepatah pun kita tak bincang soal pakat dengan Umno," tegasnya sambil mendapat tepukan gemuruh dari penyokong parti itu.
 
Husam mendakwa kononnya PAS ada membincangkan soal kerjasama dua parti itu dalam satu pemukiman tertinggi PAS di Pulau Pangkor, Perak, awal September lalu.
 
Namun usaha yang kononnya dibincangkan dalam program PAS di Pulau Pangkor itu tidak dapat diteruskan memandangkan mendapat tentangan dari salah seorang panel PAS.
 
Tegas beliau, Amanah hanya mengambil kesempatan supaya penyokong membenci PAS, sedangkan parti telah menjadikan Umno sebagai lawan sejak tahun 1950 lagi.
 
"Amanah ambil kesempatan suruh orang benci kita dan kata kita hendak berpakat dengan Umno. Sedangkan kita sebut PRU14 PAS akan lawan Umno, hal lawan Umno sejak kita mula tubuh PAS 1950-an dahulu.
 
"Maka wajib kita selidik, (tuduhan) kena periksa dahulu, jangan mudah percaya kepada berita yang tak betul, lebih-lebih lagi mereka yang terima berita dari jin," kata Nassuruddin.
 
 

Subscribe to receive free email updates: