Walaupun nama Lim Kit Siang sengaja disembunyikan dalam senarai organisasi Pakatan Harapan (PH), namun tindak tanduk penasihat DAP itu membuktikan beliau merupakan ketua umum pembangkang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja ditonjolkan sebagai Pengerusi PH hanya satu strategi untuk memancing undi Melayu-Islam.
“Tindakan masa lampau Kit Siang menunjukkan bahawa DAP adalah pemimpin de facto pembangkang. Dengan kerusi majoriti yang dimiliki DAP dibandingkan dengan parti lain, DAP lah yang menentukan apa yang berlaku.
“Kerjasama yang dijalin dengan PPBM sekadar untuk memberikan PH muka Melayu untuk memancing pengundi Melayu. Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah boneka untuk memenangi undi Melayu dan diketeg disertaingahkan kononnya sebagai pemimpin pembangkang tetapi tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan apa yang patut dilakukan walaupun dalam perkara seperti kerusi.
“DAP sentiasa berkuasa dan membuat keputusan apa yang patut dilakukan,” katanya dalam catatan di blog rasmi beliau hari ini.
Menurut rekod sejarah, Salleh menjelaskan DAP merupakan parti dominan dan menjadi Ketua Pembangkang Di Parlimen, walau apa pun gabungan pembangkang yang disertai parti dominasi Cina itu.
“Pada 1999, sekali lagi DAP memutuskan untuk menubuhkan pakatan pembangkang dengan PAS tetapi pada 2001 DAP keluar daripada pakatan itu dan bergerak secara solo.
“Kemudian pada pilihan raya umum 2008, sekali lagi DAP mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat dan selepas pilihan raya umum 2013 mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
“Walaupun mereka sepatutnya berkerja berdasarkan konsensus, semua keputusan dan pengumuman dibuat oleh Kit Siang dan bukannya oleh mana-mana pemimpin pakatan yang lain,” katanya.
Salleh berkata sejak 1990 sehingga kini, Kit Siang telah menunjukkan bahawa DAP yang sebenarnya berkuasa dan mereka yang membuat keputusan apa yang patut dilakukan walaupun mereka mendakwa setiap orang dalam pakatan pembangkang adalah rakan kongsi yang setara.
“Bagaimanapun, tindakan Kit Siang bagi tempoh kira-kira 30 tahun lepas telah menunjukkan bahawa hanya apa yang dikehendaki DAP adalah penting dan jika ada sesiapa yang tidak menuruti kehendak DAP mereka akan disingkirkan,” katanya.