Marina: Janganlah Terlalu Ghairah Jelajah 1MDB Hingga Lupa PRU-14 kabarmalay3.blogspot.com


PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 menasihatkan Pakatan Harapan tidak terlalu ghairah menganjurkan jelajah dan himpunan mengenai 1MDB sehingga mengabaikan persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14). 

Maria Chin Abdullah ketika dihubungi  hari ini turut mencadangkan pembangkang menggunakan jelajah itu untuk menjelaskan dasar mereka – antaranya soal perumahan, kesihatan dan pendidikan – kepada rakyat. 

“Bukan isu rasuah sahaja yang penting, pembangkang juga perlu ketengah dasar yang akan mereka bawa. Ketika ini semua pihak tahu kita perlu atasi masalah rasuah. “Mereka kata mereka ada (dasar), tetapi saya tidak nampak. 

Tunjukkan kami dasar yang dibawa, dari situ ia boleh menunjukkan pembangkang mampu mentadbir negara atau tidak,” katanya sambil menambah Bersih 2.0 belum membuat keputusan sama ada akan menyertai jelajah itu, tetapi akan berbincang dengan sekretariat jelajah.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Pakatan Harapan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Warisan Sabah akan menganjurkan jelajah mengenai 1MDB bermula 6 Julai ini untuk menjelaskan dakwaan terkini membabitkan sayap pelaburan strategik kerajaan itu menerusi saman sivil terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 16 Jun lalu, kepada orang ramai. 

Jelajah itu akan diakhiri himpunan aman pada September depan, di mana tarikh dan lokasi akan ditetapkan kemudian. 

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan berkata, beliau menyokong jelajah itu tetapi bimbang dengan peluang kejayaan dan jumlah kehadiran orang ramai dalam program 2 bulan itu yang mungkin menghantar isyarat bercampur kepada rakyat. 

Katanya, DoJ memfailkan saman sivil sejak tahun lalu tetapi jelajah itu hanya diadakan sekarang, seolah-olah menunjukkan pembangkang tidak percaya dengan minat rakyat terhadap isu itu sehingga pilihan raya umum bakal diadakan. 

“Kita perlu tunggu dan lihat kejayaan jelajah itu. Secara peribadi, saya rasa ia sedikit terlambat jika tujuannya untuk mendidik rakyat mengenai isu itu.

Sementara itu, pengkritik lantang 1MDB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyambut baik jelajah itu dan akan membuat permohonan untuk menyertainya. Walaupun tidak menafikan keperluan Pakatan Harapan untuk menjelaskan dasarnya, beliau berkata, isu 1MDB tidak boleh dilupakan sama sekali kerana ia adalah “punca kemelut politik dan ekonomi” yang dihadapi negara kini. 

“Suka atau tidak, ini adalah masalah terbesar negara dan kita perlu atasinya,” katanya yang pernah membuat laporan di beberapa negara lain terhadap 1MDB. Beliau bagaimanapun menafikan isu 1MDB “terlalu sukar” difahami masyarakat akar umbi dan tidak dapat membantu Pakatan Harapan dalam meraih sokongan pengundi. 

“Turun ke kedai-kedai kopi di kampung, anda akan dengar mereka bercakap tentang isu ini, malah boleh menyebut angka (yang terlibat). Dengan penerangan yang ringkas dan mudah, jelajah ini dapat membuatkan mereka lebih faham,” katanya. 

DoJ melalui tindakan terbaru difailkan di California mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas dan hak 2 filem yang dibeli dengan dana didakwa diseleweng daripada 1MDB. 

DoJ menerusi saman sivil pertama yang difailkan pada Julai 2016 mahu merampas semua aset didakwa dibeli dengan dana 1MDB, termasuk Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, karya seni serta hasil kutipan daripada filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio. 

Keseluruhan nilai aset yang cuba didapatkan DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dengan tuntutan terbaru itu. #sumber

Subscribe to receive free email updates: