Pandikar beri alasan soalan 1MDB ditolak kerana masih dalam siasatan DoJ kabarmalay3.blogspot.com

 BERNAMA

Pandikar Amin Mulia

"Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyangkal dakwaan pembangkang kononnya semua soalan berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Pandikar Amin berkata tindakan pembangkang yang mempolemikkan isu 1MDB telah menjejaskan imejnya sebagai speaker Dewan Rakyat.

"Kalau nak politikkan isu itu buat di luar. Jangan libat Dewan (Rakyat) dan saya dalam isu ini. Jangan jadikan Dewan Rakyat seperti pasar, kita bukan jual sayur, bukan jual ikan atau ayam atau pasar lelong, kita ada peraturan," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.
Pandikar Amin berkata sebanyak 19 soalan berkenaan 1MDB diterima dan dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dengan empat daripadanya dikemukakan dalam aturan itu pada hari pertama persidangan.
Setiap soalan yang ditolak, kita ada justifikasi kenapa ia ditolak dan soalan 1MDB bukan semua ditolak. Ada yang kita benarkan mengikut Peraturan Mesyuarat," katanya.

Menurut Pandikar Amin, isu 1MDB tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 36(2) kerana sedang dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 36(2), tidak boleh disebutkan apa-apa perkara dalam pertimbangan mahkamah sekiranya dalam pertimbangan pengerusi akan merosakkan kepentingan pihak yang didakwa dan pihak yang mendakwa," katanya.

Pandikar Amin berkata pihaknya menerima lebih 1,000 soalan dalam tempoh dua minggu sebelum persidangan Dewan Rakyat berlangsung dan setiap soalan itu ditapis supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Katanya kebanyakan soalan yang ditolak adalah kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (c) yang mana di bawah peraturan itu setiap pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, keji atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati atau apa-apa perkara dangkal atau mengandungi perkara-perkara remeh.

"10 hari sebelum persidangan, ahli-ahli yang berhormat diberi tempoh untuk menghantar soalan dan sebelum mereka mengeluarkan soalan, mereka perlu baca dahulu adakah soalan mereka menepati peraturan," katanya.

Subscribe to receive free email updates: