UMNO Berubah Kepada Imej Beragama kabarmalay3.blogspot.com

DETIK DAILY

 
Oleh Alang Ibn Shukrimun

ISLAM IS TRENDING

Pasca Perhimpunan Agung Umno 2017, ramai pemerhati politik menyuarakan komentar. Umno sekarang sudah banyak berubah. Paling menonjol, mereka sudah banyak memperkenalkan terma-terma dan budaya Islam dalam organisasi. Dahulu bukan tidak ada, tapi sekarang semakin ketara.
Laungan takbir Allahuakbar, bercakap soal kewajipan taat dan wala, bangkit membela Palestin, program-program keagamaan berskala mega dan bermacam lagi retorik yang menampakkan keislaman Umno. Pada mata kasar, mereka cukup terbuka dan berani menzahirkan keislaman.

Walaupun ada yang melihat perkara ini sebagai negatif, mempergunakan agama atau cuba menyaingi PAS, tetapi saya lebih suka memandangnya dari sudut positif.

TRENDY

Kenapa Umno berubah menjadi semakin Islamik? Kerana mereka mahu terus relevan dan diterima di medan politik. Mereka memiliki jentera pengkaji dan pembanci yang kuat mewakili berbagai agensi dan lapisan. Sudah tentu imej Islamik yang mereka tonjolkan sekarang adalah hasil daripada dapatan kajian trend semasa pengundi di Malaysia.

Ini menunjukkan trend semasa rakyat Malaysia adalah minat kepada agama. Islam menjadi "trendy'. Jadi kalau Umno tidak mengikut trend beragama, mereka akan ditinggalkan. Rakyat mahu agama, maka mereka perlu tawarkan agama.

Jika dinilai dari sudut kepentingan Islam tanpa mengambil kira untung rugi politik kepartian, trend semasa ini adalah sangat positif. Menunjukkan hasil usaha dakwah Islamiah yang dijalankan sejak dahulu meningkat dengan baik. Rakyat sudah tidak seperti dulu. Kesedaran agama telah tersebar luas hingga ke bandar-bandar besar. Dahulu, agama hanya popular di kawasan kampung.

JANGAN PERLEKEH

Ketepikan seketika politik kepartian. Kita mesti melihat fenomena ini daripada kacamata agama dahulu. Pandang dari perspektif seorang negarawan. Tidak dinafikan imej baharu Umno ini akan memberi cabaran buat PAS yang telah lama memperjuangkan agama. Tetapi amat tidak bijak jika kita memperlekeh usaha Umno untuk mendekati agama.

Pedulikan motif sebenar perubahan imej Umno ini. Walaupun kita percaya pasti ada motif politik, tetapi mesti pandang dari sudut kelebihan buat negara dan rakyat. Sikap Umno yang membuka pintu untuk agama ini pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan Islam di negara. Agama akan menjadi keutamaan dalam kehidupan rakyat bernegara. Utamakan rakyat dalam berpolitik. Ia salah satu kriteria BPMS.

Percayalah, jika kita mengkritik, memperlekeh atau mempertikaikan keikhlasan Umno dari sudut ini, kita akan dilihat mengamalkan politik sempit. Kita akan dipandang tidak matang. Kita akan dikritik kembali oleh rakyat. Itu persepsi rakyat teramai walaupun mereka juga agak skeptikal dengan Umno.
AGAMA TRENDY DI BARAT

Sebenarnya, fenomena masyarakat kembalu kepada agama tidak hanya melanda negara kita. Bahkan negara barat juga. Islam semakin diminati di negara besar Eropah seperti Perancis, Jerman, dan UK. Agensi kajian Pew Research Center menjangkakan Islam akan mendominasi barat menjelang 2050, dan akan menyamai bilangan kristian di dunia jika trend peningkatan kemasukan Islam konsisten seperti sekarang.
Di Amerika, protestan semakin ditinggalkan. Golongan atheisme ataupun freethinker semakin menyedari keperluan agama dalam kehidupan. Islam menjadi popular pasca 11 September. Untuk mengekang penghijrahan masyarakat kepada Islam, gereja protestan perlu melakukan reformasi. Justeru, dipopularkan gerakan evangelical yang lebih bersifat fundamental terhadap agama (kristian). Evangelical cuba mengharmonikan antara gereka protestan dan katolik.

PERSAINGAN SIHAT

Berbalik kepada Malaysia. Jangan anggap imej Islam Umno adalah ancaman buat PAS. Sebaliknya jadikan sebagai cabaran untuk kita lebih mara kehadapan. Apa yang perlu PAS lakukan sekarang adalah memperkuatkan lagi usaha menyebarkan Islam. Ambil peluang daripada ruang yang dibuka untuk masuk menerangkan Islam secara lebih mendalam.

Kalaupun mahu bersaing, bersainglah secara sihat. Bersaing untuk memberi kefahaman Islam dengan benar dan jelas, bukan bersaing untuk meramaikan audiens semata-mata. Bersaing untuk meneroka setiap ruang dakwah yang ada, bukan bersaing untuk berebut sokongan sahaja. Jangan bersaing sehingga wujud perpecahan sesama Islam.

JANGAN BERPALING KE BELAKANG

Apa yang dibimbangi, kita mengatur gerakerja dalam keadaan mengabaikan trend semasa rakyat ini. Kita ghairah mencari publisiti dan populariti, tetapi tidak melakukan kajian terperinci kecenderungan rakyat. Menyebabkan kita melakukan tindakan yang dirasakan popular, tetapi sebenarnya tidak.

Tidak salah mengambil pendekatan dakwah popular. Tetapi pastikan ia benar-benar popular dan mampu mencapai sasaran. Buat kajian sebaiknya. Jangan main hentam kromo. Politik rasional dan profesional juga salah satu kriteria BPMS.

Jangan bimbang. Kita akan terus kekal relevan jika konsisten dengan imej yang fundamental. Orang tahu sejak awal keberadaan PAS di arena politik, perjuangan dan agenda kita adalah Islam. Walaupun trend rakyat pasca kemerdekaan masih pekat dengan pemikiran sekular, PAS tidak pernah meninggalkan Islam.

Bahkan tidak keterlaluan jika kita nyatakan PAS menyumbang besar kepada perubahan trend semasa rakyat sekarang. Tanpa PAS, mungkin kesedaran Islam tidak ditahap sekarang.

Justeru jika kita kekal dengan imej fundamental, ia akan menguntungkan kita!

PERSEPSI

Umno sekarang sedang memainkan persepsi, tiada keperluan untuk mereka beralih dari Umno kepada PAS kerana Umno sama seperti PAS sahaja sekarang. Ujar mereka, PAS perjuangkan Islam, Umno pun ada Islam!

Walaupun kenyataan ini agak melucukan bagi yang bergelumang lama dalam kancah politik, tetapi hasil pemerhatian yang dibuat, ramai juga yang terpengaruh. Kerana hakikatnya majoriti rakyat Malaysia tidak bergelumang dengan politik.

Jangan sampai orang tertukar antara PAS dan Umno sudahlah. Kerana sudah ada ura-ura tidak enak kedengaran di kalangan rakyat, Umno dulu adalah PAS sekarang dan Umno sekarang adalah PAS dulu. Walaupun amat jauh dari realiti, tetapi persepsi ini sangat mudah mendoktrinasi rakyat awam jika kita tidak berhati-hati. Media utama negara didominasi oleh pesaing politik kita.

Kesimpulannya, teguhlah dengan ketulenan perjuangan, bijaklah dalam berpolitik, dan paling penting, jujurlah kepada rakyat. Inilah matlamat utama BPMS yang digagaskan Presiden kita.

Subscribe to receive free email updates: