Amanat Hadi jelas prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, bukan kafirkan Umno kabarmalay3.blogspot.com

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanat Hadi tidak pernah mengkafirkan Umno, sebaliknya kandungan dalam ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu adalah bagi menjelaskan dasar dan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar serta perkara yang boleh membatalkan syahadah.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Amanat Hadi 'mengkafirkan' Umno, adalah tohmahan bagi menamam kebencian rakyat serta menjauhkan masyarakat Islam daripada PAS.
 
"PAS sudah jauh menapak ke depan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir 2015 bagi menyantuni masyarakat melayu muslim pelbagai peringkat sesuai dengan realiti semasa kefahaman masyarakat Islam tentang Islam.
 
"Dr Mahathir pula mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.
 
Amanat Hadi merupakan petikan daripada ucapan Presiden PAS itu ketika berceramah di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. 
 
Dr Mahathir sebelum ini menuduh Amanat Hadi sebagai punca kepada terjadinya tragedi Memali, di mana dakwanya pengikut guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya terlalu taasub dengan amanat berkenaan. 
 
Mantan perdana menteri itu juga mendakwa sikap berdiam diri mufti yang tidak menyangkal fatwa ekstrem ini semakin menghangatkan polemik isu kafir mengkafir sesama Islam.
 
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata rakyat kini bijak menilai pendekatan semasa PAS dalam menyebarkan dakwah Islam sesuai dengan suasana, serta menilai gaya pemerintahan Dr Mahathir dan sikapnya terhadap dakwah Islam sepanjang dekad pemerintahan beliau. 
 
"Usah diharap untuk seorang yang mempunyai rekod yang kurang baik terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan. Usah undur ke belakang," ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
 
Dalam masa yang sama Mohd Khairuddin juga mengingatkan para ilmuwan Islam termasuk mufti agar tidak terikut dengan rentak tarian Dr Mahathir menyerang PAS dalam agenda yang sama.
 
"Amanat Hj Hadi dijadikan sasaran kononnya penyebab kepada perpecahan. Hakikatnya pemecah belah adalah golongan yang lari dari landasan Islam yang sebenar, bukannya pendakwah yang menyeru manusia kembali kepada Islam. Saya menyeru semua bersikap adil menilai Amanat Hj Hadi secara ilmiyah dan akademik," kata beliau.
 
 

Subscribe to receive free email updates: