Kenapa tidak berhimpun untuk rakyat Yaman, soal Art Harun kabarmalay3.blogspot.com

 
Seorang peguam mempertikaikan keghairan menunjuk perasaan untuk Palestin dan Rohingya tetapi memandang sepi pergolakan di Yaman.


art-harun_Yaman-war_600


PETALING JAYA: Seorang pengulas politik tempatan mempertikaikan keghairahan mengadakan tunjuk perasaan solidariti untuk rakyat Palestin tetapi meminggirkan rakyat Yaman.

Azhar Harun, peguam yang lebih dikenali dengan panggilan Art Harun berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan lain berhimpun dan membuat ucapan berapi-api mengenai nasib Rohingya dan Palestin tetapi memandang sepi pergolakan di Yaman.

Beliau mengulas rancangan kerajaan menganjurkan tunjuk perasan untuk rakyat Palestin di Masjid Putra, Putrajaya esok. Himpunan bukan politik itu dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang termasuk parti pemerintah dan pembangkang, NGO dan kumpulan agama.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan sebagai respon kepada tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Najib, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan wakil kerajaan Palestin dijangka akan berucap, diikuti pelancaran Tabung Palestin.

“Saya masih ingat perhimpunan serupa mengenai Rohingya tidak lama dulu. Ceramah berapi-api. Seperti kita akan berperang.

“Tetapi, mengapa tidak ada perhimpunan untuk orang Yaman yang menghadapi malapetaka besar?” tulisnya di Facebook hari ini.

Konflik Yaman melarat sejak Mac 2015 selepas Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan ke atas negara itu, dalam usaha menyokong Presiden Abd-Rabbu Mansor Hadi menghadapi pembangkang dan militan Houthi. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB melaporkan seramai 7,500 orang terbunuh dan 40,000 orang tercedera dalam konflik itu setakat Februari.

Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan PBB Mark Lowcock dilaporkan berkata dunia akan menyaksikan masalah kebuluran terbesar dalam sejarah, membabitkan jutaan nyawa tidak berdosa, jika Arab Saudi tidak mengakhiri sekatan ke atas negara itu.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan kesungguhan perdana menteri dan kerajaan membantah tindakan Presiden AS Donald Trump.

“Sudahkah kita menghantar nota bantahan kepada Kedutaan AS atau memanggil duta AS melalui saluran diplomatik biasa dengan protokol diplomatik biasa dan memberikan teguran yang keras dan amaran tegas kepada mereka?”

Subscribe to receive free email updates: