JITRA: Kementerian Pertahanan masih menunggu laporan penuh berkaitan kes dera yang mengaitkan seorang anggota tentera dan anak tirinya sebagaimana yang dilaporkan semalam.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata selain menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan, kementerian juga menyerahkan sepenuhnya kepada Panglima Angkatan Tentera untuk mengambil tindakan lanjut terhadap anggota tentera itu, jika disabitkan kesalahan.
"Kes ini dilihat sebagai satu penderaan (melibatkan anggota tentera dan anak tiri)... sepatutnya tiada kaitan dengan Kementerian Pertahanan.
"Apa pun saya tidak boleh beri komen apa-apa melainkan tunggu polis buat siasatan, sekiranya disabitkan bersalah kita serahkan pada PAT untuk ambil tindakan," katanya selepas menghadiri program kacau bubur asyura anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Bersatu di Jitra hari ini.
Semalam polis menahan anggota tentera itu bagi membantu siasatan kes dera anak tirinya yang berusia 10 tahun di Indera Mahkota, Kuantan.
Turut sama ditahan adalah ibu kepada kanak-kanak berkenaan.
Difahamkan, kanak-kanak malang itu hanya tidak ke sekolah kelmarin dan bapanya yang gagal menahan marah, dipercayai bertindak di luar batasan dengan menghukum anaknya itu.
Polis menemui kanak-kanak berkenaan yang lehernya diikat menggunakan rantai dan mengunci pad atong gas sebelum ditinggalkan di ruang dapur rumah mereka.
Abdul Aziz berkata, pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.