KUALA LUMPUR, 29 Muharram 1440H, Selasa – Walaupun penganjuran pesta arak terbesar, ‘Oktoberfest’ pernah mencetuskan kontroversi, namun ia tetap diadakan di ibu negara pada bulan ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, penganjur pesta itu boleh membuat permohonan permit dan mematuhi syarat yang ditetapkan, sekiranya mahu mengadakan Oktoberfest.
“Kita akan periksa dan sahkan sama ada pesta itu akan dianjurkan atau tidak. Kalau nak buat, buatlah permohonan, maka kena ikut peraturan.
“Garis panduannya perlu (dibuat) di tempat terkawal, bukan tempat khalayak ramai dan tidak ada orang Islam yang hadir,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, setakat ini tiada sebarang permohonan dibuat daripada penganjur pesta itu.
“Kita pastikan bahawa apa-apa benda yang mereka dah buat (Oktoberfest) mesti mendapat lesen, walaupun kedai alkohol.
“Sekarang ini, bila dah tahu kita akan ambil tindakan dan tengok ada atau tidak perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, pesta arak telah diadakan pertama kalinya pada tahun 2012 – sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia. Ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan kehadiran lebih kurang hanya 200 orang pengunjung.
Pada tahun 2016, pesta ini diadakan di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dihadiri oleh 3,500 orang.
Pada tahun lepas pula, Better Beer Festival yang dianjurkan oleh pengedar bir MyBeer (M) Sdn Bhd yang mana acara utamanya ialah untuk merasai produk pengeluar bir bebas.
Difahamkan, pesta arak kali ini adalah adalah tahun ketujuh ia diadakan. - ismaweb