Nazri Mahu Pengkritik Nyatakan 'Kesalahan' Jho Low Di Malaysia ! kabarmalay3.blogspot.com

SHAH ALAM: Menteri Datuk Seri Nazri Aziz membidas pengkritik dan meminta mereka senaraikan pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan Low Taek Jho di Malaysia sebelum meminta tindakan diambil terhadap ahli perniagaan itu.
Bekas menteri undang-undang itu berkata di Malaysia, tindakan hanya boleh diambil terhadap pelaku sekiranya kesalahan dilakukan di negara ini.
“Saya mahu tahu apakah kesalahan yang dia lakukan di Malaysia.
“Selama ini Tun Dr Mahathir Mohamad berkata satu dunia tahu mengenai Jho Low dan hanbya Malaysia yang nampaknya tidak tahu.
“Kesalahan itu, jika ada dilakukan, berlaku di luar negara. Biar negara itu yang ambil tindakan.
“Di Malaysia, beritahu kami apakah kesalahan yang sudah beliau lakukan,” kata Nazri.
“Saya pasti kalau dia lakukan kesalahan di sini, tindakan akan diambil terhadapnya mengikut undang-undang kita,” katanya pada sidang media selepas mengunjungi Les’ Copaque Production Sdn Bhd hari ini.
Nazri diminta menjelaskan mengapa kes terhadap Jho Low diisytiharkan tutup oleh pihak berkuasa tempatan ketika negara lain masih menyiasat ahli perniagaan itu.
Pendakwaraya di Singapura menamakan Jho Low sebagai watak utama dalam siasatan berkaitan 1MDB, dan mendakwa beliau menggunakan wang yang boleh dikesan ke dana kerajaan itu untuk manfaat peribadi.
Pendakwaraya dalam fail ke mahkamah berkata kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) yang kononnya dilaburkan 1MDB dalam usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd didakwa disalurkan ke sebuah akaun bank yang didakwa milik Jho Low, yang menghilangkan diri daripada perhatian masyarakat.
Di Dewan Rakyat pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dilaporkan berkata permohonan dibuat kepada Interpol untuk menjejaki Jho Low.
Tidak lama kemudian, Zahid berkata kenyataannya sudah dimanipulasikan media sosial.
“Sehingga hari ini, polis telah menutup fail kes berkenaan dan tiada lagi permintaan oleh Interpol terhadap kes tersebut.
“Bagaimanapun, media berkenaan seolah menimbulkan isu pencarian semula terhadap Jho Low. Itu sama sekali tidak benar,” kata Zahid dalam kenyataan. #sumber

Subscribe to receive free email updates: