Tak layak jadi PM jika abaikan agenda Melayu, Islam - Anwar kabarmalay3.blogspot.com


IPOH: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak layak untuk menjadi perdana menteri jika mengabaikan agenda untuk orang Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata perbezaan daripada sudut bangsa dan agama yang dianuti tidak akan sesekali menjadi batu penghalang untuk dirinya melaksanakan keadilan terhadap kepentingan kaum lain di Malaysia.

"Saya akan pertahankan kepentingan Melayu supaya tidak terpinggir, miskin dan tiada ruang perniagaan besar di bandar-bandar.

"Saya juga akan tetap jaga orang-orang yang beri keyakinan dan sokongan kepada kita termasuk India, Cina dan kaum lain," katanya ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Malaysia Baharu di Dewan Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sabtu.

Katanya, PKR juga akan meneruskan penerapan konsep Islam dalam parti, namun ia tidak akan sesekali dijadikan sebagai imuniti dan kelebihan untuk menekan mana-mana anggota parti daripada kaum lain.

"Kita tidak akan gunakan Islam untuk menekan orang lain atau buat tafsiran Islam hanya nak hukum orang sahaja. Fahaman Islam kita itu berdakwah, beri kesedaran penafsiran dan pemahaman syariah yang benar," katanya.

Anwar, yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berkata pendirian beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah senada.

"Kita adalah masyarakat Malaysia yang faham agama dan kita tidak setuju dengan perkahwinan sejenis, cuma media cuba laga-lagakan (dengan melaporkan) perdana menteri kata tidak setuju dengan LGBT, Anwar kata kita kaji semula undang-undang liwat," katanya.

Anwar berkata undang-undang liwat adalah undang-undang yang dibawa oleh Inggeris ke India pada zaman penjajahan kemudian Malaysia mengambil undang-undang tersebut dan bawa ke negara ini.

"Bagi saya undang-undang itu tidak adil dan harus dikaji semula, jadi nak tunjukkan laga saya dan Tun Mahathir hari-hari itulah ditunjuk apa yang saya sebut yang boleh saya bergaduh dengan Tun Mahathir,” katanya.

Anwar berkata beliau dan Tun Dr Mahathir sepakat untuk menyelamatkan negara daripada rompakan pemimpin-pemimpin terdahulu.

"Sekarang ini saya nak pakatan itu berhasil, pakatan Anwar, Mahathir dan parti-parti Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara ini daripada kerosakan yang Barisan Nasional telah lakukan," katanya.-Bernama

Subscribe to receive free email updates: