“Jangan BAYAR (PTPTN) sehingga bergaji RM4,000 ok?” - KJ kabarmalay3.blogspot.com


Khairy Jamaluddin terus menyindir mengenai isu bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kali ini membabitkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mencadangkan agar peminjam tidak membuat bayaran semula pinjaman sehingga gaji mereka mencecah RM4,000.

“Jangan bayar sehingga gaji RM4,000, okay?,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menerusi status yang dikongsikan di akaun Twitter miliknya pada Ahad.


Terdahulu, Kementerian Pendidikan meminta pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang agar tidak berterusan mengaitkan hutang pinjaman PTPTN dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Maszlee berkata, ini kerana setiap peminjam apa sekali pun, mereka perlu melunaskan hutang berkenaan termasuk dituntut di dalam Islam.

“Apa pun manifesto kata tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu.

“Pembangkang semua nak politikkan isu tetapi ini soal akhlak dan moral apabila pinjam duit kenalah bayar. Bayarlah walau dengan hanya RM10 sebulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Siputeh di Kodiang, Ahad.


Dilaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal terhadap sikap tidak amanah peminjam PTPTN yang menjadi punca jumlah tunggakan hutang pembayaran balik pinjaman tersebut menjangkau sehingga RM36 bilion.

Dr Mahathir berkata, kebanyakan daripada peminjam telah mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri namun masih belum mahu membayar hutang tersebut.

Bagaimanapun, Khairy membalas kenyataan Dr Mahathir dengan mengatakan perdana menteri tidak seharusnya malu kerana kerajaan PH yang menggalakkan peminjam menangguhkan pembayaran hutang PTPTN.


“Jangan malu, tuan. Siapa yang keluarkan mereka daripada senarai hitam? Siapa yang janji mereka hanya perlu bayar selepas gaji mencapai RM4,000 sebulan?

“Apa pula cadangan @chedetofficial (akaun Twitter Perdana Menteri) untuk meningkatkan pembayaran balik hutang PTPTN?” soalnya di Twitter, Khamis lalu.

Manifesto PH pada kempen pilihan raya umum lalu menyebut untuk menangguh pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan. - mStar

Subscribe to receive free email updates: