'Tiada jurulatih di dunia gaji RM175,000 latih budak-budak' kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: “Kami jurulatih yang bodoh sombong dan malas, tak layak untuk memberi komen kepada jurulatih dari Jerman,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan.
Itu reaksi sinis Sathianathan ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim susulan kegagalan anak buahnya menepati sasaran mara ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) di Peru, tahun depan.
Bagaimanapun, Sathianathan yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan mengakui betapa Teong Kim jurulatih yang beruntung selepas menerima gaji sebanyak RM175,000 tanpa dikenakan cukai hanya untuk melatih ‘budak-budak’.
Saya rasa tiada mana-mana jurulatih pasukan B-16 di dunia ini yang menerima gaji sebanyak itu. Namun, sama ada ia dianggap terlalu tinggi atau berpatutan, saya tidak boleh mengulasnya.
“Ini kerana isu membabitkan gaji ini satu perkara yang subjektif. Bukan salah Teong Kim juga apabila dia menerima gaji yang tinggi itu.
“Mungkin ketika itu pihak yang bertanggungjawab begitu ghairah untuk mendapatkan khidmatnya, jadi mereka menawarkan gaji sebegitu. Jadi kita perlu tanya mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berdasarkan pengiraan kasar, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu meraih pendapatan sebanyak RM2.1 juta setahun dan ia dianggap lebih tinggi berbanding gaji tahunan pengendali Poland, Adam Nawalka (RM1.3 juta) meskipun anak buahnya beraksi di Piala Dunia 2018.
Mengulas lanjut kegagalan skuad B-16 pada temasya Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, Sathianathan menegaskan ia sebagai satu tragedi yang memalukan namun mengakui NFDP perlu diteruskan.
“Program NFDP sememangnya satu usaha yang bagus tetapi jika kita lihat petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan adalah untuk bersaing di Piala Dunia B-17 tetapi kita tidak berjaya.
“Jadi, itu patut dikira sebagai kegagalan. Apatah lagi kita menghabiskan jutaan ringgit untuk membida hak tuan rumah namun kita sekadar menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Teong Kim bertanggungjawab terhadap kegagalan skuad kendaliannya mara ke Piala Dunia B-17 sejurus tewas kepada Jepun 0-2 dalam aksi terakhir Kumpulan A semalam sekali gus gagal layak ke Peru.
Malah, Syed Saddiq menegaskan pihaknya akan menilai kembali kontraknya yang akan berakhir pada 2020 memandangkan gajinya mencecah RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai. - BH

Subscribe to receive free email updates: