PORT DICKSON: Bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah mengumumkan keluar dari UMNO.
Jelasnya, sebab keluar parti adalah kerana beliau mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson memandangkan UMNO tidak meletakkan calon.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan adakah beliau berdepan risiko dibuang parti memandangkan beliau mahu bertanding pada PRK Port Dickson.
"Saya sendiri, dua hari lepas tulis surat pada UMNO Bahagian Teluk Kemang untuk berhenti dari jadi ahli UMNO. Saya beri pada setiausaha bahagian dan esok lusa dia beri pada pejabat.
"Maknanya saya dah berhenti dari jadi ahli UMNO. Jadi tak timbul soal dipecat ke apa sebab saya dah berhenti dari jadi ahli," katanya dalam satu sidang media, di sini malam tadi.
Apabila ditanya sekiranya beliau hampa dengan keputusan UMNO untuk tidak bertanding di PRK ini, Mohd Isa berkata sebagai parti, amatlah rugi UMNO tidak bertanding.
Tambahnya, beliau juga kecewa apabila Negeri Sembilan jatuh ke tangan Pakatan Harapan.
BACA: Isa Samad umum tanding calon bebas PRK Port Dickson
BACA: Keanggotaan Mohd Isa dalam UMNO lucut secara automatik
PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini manakala penamaan calon adalah pada Sabtu, 29 September dan hari undi awal adalah pada 9 September.
Setakat ini, lima nama telah mengesahkan bahawa mereka akan bertanding.
Mereka adalah calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazari, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad atas tiket Bebas, Ahmad Kamarudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang lagi calon Bebas, Stevie Chan.
Dikatakan salah seorang bekas pemimpin reformasi, Datuk Mohd Ezam Mohd Nor juga akan bertanding atas tiket Bebas.
Jika Ezam sah bertanding, PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.
Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor. - Astro Awani