PERANG SALIB BARU - Hj Hadi kabarmalay3.blogspot.com

Minda Presiden PAS
PERANG SALIB BARU
Di abad yang lalu dilaporkan cerita kerakusan serangan barat dan timur yang mengibarkan bendera salib dan sabit terhadap umat Islam dan tanah airnya dengan serangan bersenjata yang bertubi-tubi, membunuh manusia dan menghanguskan buminya.
Khilafah dijatuhkan sehingga dijajah keseluruhan tanah air Islam, ditakluk atau dipaksa berada di bawah naungannya. Umat Islam diperhamba dan dibuli jasad dan akalnya habis-habisan, hasil bumi dan karya ilmunya juga dirampas.
Tidak memadai sekadar tanah air umat Islam dipecah selepas dijajah, dibahagikan pula sesama mereka laksana membahagi pusaka peninggalan ibu bapa dan nenek moyang mereka.
Umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dibelasah jasadnya, diadu-dombakan mengikut mazhab dan kebangsaan, dipecah mengikut semangat bangsa tanpa Islam dan fanatik mazhab tanpa ilmu, diperintah dan dibuli pemikirannya sehingga cara hidup berkiblatkan ke arah negara penjajah masing-masing. Akar umbi politik dan ekonomi umat Islam dapat dipengaruhinya demi kepentingan mereka, sehingga budaya juga dikacau-bilaukan.
Namun, mereka gagal memadamkan cahaya Islam dan semangat menentang penjajah, sehinggalah tanah air umat Islam terpaksa diberikan kemerdekaan. Tetapi diaturnya supaya tidak boleh diberikan peluang kepada perubahan negara yang berjenama Islam untuk berdaulat sehingga Islam memerintah, kerana dibayangi ketakutan dan kebimbangan Islam bangkit kembali memimpin dengan baik, kerana Islam dipandang sebagai penghalang hawa nafsu jahat yang menjadi pegangan mereka.
Allah menunaikan janjinya bahawa cahaya Islam tidak mungkin dipadamkan. Firman-Nya:
﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾ [الصف: 8-9]
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir (yang bermusuh itu) tidak suka (akan yang demikian). (8) Dia lah (Tuhan) yang telah mengutus Rasul-Nya (Nabi Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya ia menzahirkan (kebenarannya) dan meninggikannya mengatasi segala agama (dan ajaran) yang lain. Walaupun orang-orang musyrik (mengadakan yang lain daripada petunjuk Allah itu) tidak menyukainya). (9)” (Surah As-Saff: 8-9)
Islam gagal dihapuskan dan cahaya petunjuknya tidak berjaya dipadamkan, walaupun dikelirukan dengan berbagai cara dan pendekatan. Namun, kebenaran Islam terus ternyata dan kebatilan yang lain terus terdedah dalam segenap aspek dan lapangan kehidupan manusia.
Kedegilan tidak mahu menerima Islam secara semberono bukannya mencari kebenaran, menyebabkan mereka terus merancang dan bertindak terhadap Islam setiap masa dan peluang dengan berbagai cara ketenteraan, politik, ekonomi sehinggalah cara yang terkini.
Penguasaan teknologi maklumat meredah langit terbuka menjadikan dunia tanpa sempadan lagi. Kemajuan media dijadikan senjata baru untuk menyebarkan fitnah terhadap Islam dan pembawanya. Munculnya Islamofobia sebagai salah satu daripada perang salib baru, namun kesannya menjadikan ramai yang ingin tahu berkenaan Islam sebenar secara langsung, menyebabkan Islam akhirnya diminati ramai dan berlakunya kepesatan perkembangan Islam di negara musuh yang paling besar.
Seterusnya, Islam diambil untuk dikelirukan dengan menampalkan label yang dicipta oleh mereka untuk diselewengkan perjalanannya. Bermula dengan menjenamakan ideologi dan teori disandarkan kepada Islam.
Caranya mengambil titik persamaan konsep secara umum tanpa dilihat dasar dan objektifnya yang berbeza, seperti diperkenalkan konsep Islam baru dengan menyebut Islam Sekular, Sosialisma Islam, Islam Liberal, Islam Demokrasi, dibahagikan Islam Politik dan tidak politik, sehinggalah diadakan mazhab baru dalam Islam seperti Ortodok, Konservatif, Modenisasi, Reformasi, Moderat sehinggalah Teroris dan ada lagi yang akan dimunculkan di atas nama ijtihad dalam perkara yang tidak diizinkan berijtihad.
Namun, Islam yang murni tetap tidak boleh dikelirukan dan cahayanya yang menyuluh dapat menembusi topeng yang dipasangnya pada wajah yang sesat dan zalim itu.
Terkini pula dilancarkan serangan ekonomi terhadap negara Islam yang dikira berpotensi menjadi kuasa besar dunia. Turki dan Iran kini dijadikan sasaran tanpa mengira Sunni dan Syiah kerana sejarah dan kemajuannya, walaupun diuar-uarkan kononnya untuk membantu Sunni menentang bahaya Syiah. Bahkan, dicadangkan pembentukan NATO Arab untuk menentang Iran yang dilabelkan bahaya Syiah. Turki bermazhab Sunni pula dilabelkan penjajah Uthmaniah.
Dolar yang menjadi cagaran mata wang antarabangsa dijadikannya senjata, selain dipermainkan cukai barangan negara yang menjadi sasaran itu. Tujuannya terkini untuk menjatuhkan Lira Turki dan Tuman Iran, dengan niat jahat bagi mencetuskan protes rakyat menentang kerajaan kerana masalah ekonomi seperti inflasi, kos sara hidup, pengangguran dan lain-lain. Namun banyak negara yang bergantung dengan cagaran dolar akan menerima akibatnya, menjadikannya senjata makan tuan, apabila banyak negara yang terkesan, lalu bersimpati kepada Turki dan Iran. Di samping Rusia, China dan negara lain yang tidak sama dengan Amerika juga terkesan.
Adapun negara umat Islam khususnya di kalangan negara Arab yang dicatur dahulunya ada yang terus dicatur politik, ekonomi dan media berkiblatkan ke arah ‘White House’. Berbeza dengan kiblat solat ke arah Kaabah dan Makkah, sehingga Israel dianggap kawan, tetapi negara Islam yang berjiran dijadikan lawan, walaupun nyata Israel sedang mengganas terhadap Palestin dan merampas Bait Al-Maqdis. Ada juga yang menjadi broker untuk membeli rakyat Palestin di atas nama perdamaian.
Ternyata OIC tidak berfungsi dan hanya bergusi tanpa gigi. Di sini sepatutnya umat Islam mengambil iktibar supaya mengisi kemerdekaan negara masing-masing dengan kembali kepada Islam yang sebenarnya dan mempertahankan jati diri mereka bersama Islam.
Sepatutnya umat Islam menyedari betapa Allah meletakkan mereka di bumi yang paling bertuah dalam peta dunia dari sudut kedudukan geografi, demografi, sumber kekayaan harta dan tenaga manusia penduduknya. Sepatutnya percayalah kepada firman Allah:
﴿وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ٧﴾ [إبراهيم: 7]
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu. Dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (Surah Ibrahim: 7)
Hendaklah mengambil petunjuk Islam dan mengambil manfaat daripada sumber manusia dan hasil bumi sendiri bagi membina kekuatan umat Islam yang banyak dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari segi agama dan kehidupan dunia. Percayalah, kalau tidak pedulikan Islam boleh kufur aqidahnya dan tidak memanfaatkan hasil kurniaan Allah pula kufur nikmatnya. Kedua-dua kufur ini dimurkai Allah.
Al-Marhum Profesor Najmuddin Arbakan, mantan Perdana Menteri Turki pernah berusaha menubuhkan G8 (Gabungan Negara Umat Islam) yang terdiri daripada negara Turki, Malaysia, Mesir, Indonesia, Iran, Pakistan, Nigeria dan Bangaladesh, bagi merintis dan mewujudkan kerjasama politik, ekonomi dan lain-lain.
Di antaranya, mencadangkan Dinar Islam menggantikan Dolar dan Euro bagi mencapai erti kemerdekaan yang sebenarnya kepada negara Islam. Malangnya hasrat tidak kesampaian dan terhenti di tengah perjalanan kerana kecelaruan di kalangan umat Islam sendiri dan dijatuhkan ketua negaranya tanpa islah, sehingga membawa akibat lebih buruk dan kemungkaran lebih besar.
Malangnya terus wujud di kalangan umat Islam, mereka yang boleh dijadikan buah catur permainan musuh bagi mencetuskan masalah umat bukannya penyelesaian, menunjukkan perjuangan kemerdekaan kita belum selesai.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Zulhijjah 1439 / 27 Ogos 2018

Subscribe to receive free email updates: