Sekolah swasta Cina guna silibus UEC, kenapa dapat peruntukan? kabarmalay3.blogspot.com


26 Safar 1440HAhad – Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Azam Asri, hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan memberi peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dalam Belanjawan 2019, yang dibentangkan Jumaat lalu.
Beliau berkata, sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri membuat kenyataan bahawa sekolah vernakular tidak membantu perpaduan kaum, namun kini membenarkan pula peruntukan diberikan kepada SMPC.
Tindakan itu, katanya, seolah-olah membuka lagi ruang untuk perpecahan antara kaum di negara ini, sekali gus memberi kesan yang lebih buruk daripada sekolah vernakular.
“Sekolah Menengah Persendirian Cina menggunakan silibus yang berbeza, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Ia bukan sahaja membawa perpecahan tetapi membawa naratif sejarah negara yang berbeza.
“Adakah pihak kerajaan tidak menitik beratkan kesatuan rakyat dengan memberikan dana yang paling besar kepada sekolah persendirian ini? Sekiranya tidak berjaya memupuk ini dari sekolah, apa jaminan untuk kita laksanakan di peringkat universiti?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, dengan peruntukan dana sedemikian, kemungkinan lebih ramai pelajar akan berminat untuk memasuki SMPC.
“Mereka akan berpeluang untuk mengambil UEC seterusnya disebabkan jumlah yang ramai, mereka akan menekan pihak kerajaan pula mengiktiraf UEC untuk masuk ke IPTA dan sektor awam.
“Ini sedikit sebanyak meningkatkan persaingan dengan pelajar yang melalui sistem pendidikan kerajaan Malaysia,” katanya.


Sekolahh vernakular HALANG PERPADUAN kata Perdana Menteri 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular di negara ini hanya menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat, lapor portal New Malaysia Times.
“Pada permulaannya, kita mahu mempunyai satu sistem sekolah kebangsaan. Bagaimanapun, sesetengah orang meminta agar mereka dibenarkan mengikut budaya mereka sendiri, budaya negara-negara asal mereka.
“Kami membenarkannya, lalu ia menyebabkan wujudnya tiga aliran utama – sekolah kebangsaan di mana mediumnya Bahasa Melayu, sekolah Cina dengan bahasa Mandarin dan sekolah Tamil dengan bahasanya.
“Ini bermakna berlainan bangsa pergi ke sekolah yang berbeza. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan apabila mereka tamat sekolah, mereka pergi bekerja dengan kaum lain yang tidak mereka kenali. Ini menjadi penghalang kepada perpaduan negara,“ katanya pada program bersama rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Bangkok, Thailand, semalam. 
Beliau berkata, kerajaan terpaksa menerima tuntutan yang dibuat oleh kaum lain untuk belajar dalam bahasa mereka sendiri.
Masalah sekolah vernakular sering menjadi isu kontroversi, terutama sejak Dr Mahathir menjadi perdana menteri dari tahun 1981 hingga 2003. 
Beberapa pemimpin UMNO serta kumpulan nasionalis Melayu telah meminta sekolah vernakular dimansuhkan, dengan mengatakan ia menghalang perpaduan negara.
Namun, ini adalah kali pertama Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian sebagai perdana menteri ketujuh.

Subscribe to receive free email updates: