(DAP Biadap Terbuka) KJ bidas kenyataan ‘DAP kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan bertajuk ‘DAP harus sokong ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum)’ yang dikeluarkan dua Adun DAP.

Menurut Khairy, kenyataan bersama oleh Adun Tras, Chow Yu Hui dan Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Hong itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya tidak suka mengamalkan politik perkauman. Tetapi kenyataan oleh dua Adun DAP ini yang dimuat naik di laman dapmalaysia.org tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya minta rakan-rakan baca dan kongsi kenyataan ini,” katanya yang turut menyertakan pautan kepada kenyataan tersebut di laman Facebooknya, hari ini.

Dalam kenyataan bertarikh 9 November itu, Yu Hui dan Yoke Hong menyatakan tentang kepentingan menerapkan prinsip kesaksamaan antara kaum di negara ini.

“Ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD. Seterusnya, DAP perlu memperbetulkan sistem dan dasar perkauman BN secara beransuran, dan sekali gus menghentikan politik perkauman selama ini.

“Gantikannya dengan dasar yang berkepentingan memelihara hak setiap kaum, agar semua bangsa di Malaysia dapat terus hidup makmur bersama, demi negara yang mendukung prinsip kita semua sama,” kata mereka.


Menurut mereka, DAP telah membawa pendirian itu sejak pengisytiharan Deklarasi Setapak pada 1967.

“Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Kalau kita melihatnya dalam konteks hari ini, ideologi DAP pada ketika itu adalah satu pendirian yang bersifat inklusif dan berpandangan jauh,” katanya.

Kata mereka, Deklarasi Setapak juga adalah satu deklarasi yang telah membentuk hala tuju perjuangan DAP bagi merealisasikan impian ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’.

“Selama berpuluh-puluh tahun ini, DAP kekal menentang dasar asimilasi yang diperkenalkan BN, iaitu dasar ‘Satu Bangsa, Satu Budaya, Satu Bahasa’. 

Sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin parti kita, sudah tentu boleh menjadi sebuah rujukan bagaimana penolakan dasar diskriminasi kaum dilakukan.

“Visi DAP adalah membina sebuah masyarakat yang tiada pengasingan di antara warna kulit atau kaum. DAP memperjuangkan masyarakat yang memberi peluang saksama kepada setiap individu untuk mengejar dan merealisasikan impian masing-masing,” katanya. - SH

Subscribe to receive free email updates: