Kerajaan, PBT perlu tangan MASALAH kuil haram MAIN PACAK dengan segera kabarmalay3.blogspot.com

Lokasi : Di sebalik tembok jenama PPA1M Seruling, Presint 5, WP Putrajaya - Sumber: Gerakan Rakyat Malaysia, GERAS
Masih ingat lagi kekecohan yang berlaku di sebuah kuil Hindu Sri Maha Mariamman di USJ pada November dulu? Kekecohan tersebut juga menyebabkan beberapa buah kenderaan dibakar dan pejabat pemaju dipecahkan.
Malah ia juga menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia selepas hampir 2 minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipukul ketika insiden di kuil tersebut.
Sedar atau tidak sejak meletusnya kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman dapat dilihat isu yang melibatkan kuil semakin rancak dan panas diperkatakan di seluruh Malaysia.
Saban hari ada sahaja pengguna media sosial seperti Facebook memuat naik gambar mahupun lokasi di mana terletaknya kuil atau rumah ibadat yang dibina secara haram di kawasan yang tidak sesuai.
Mungkin pada mulanya ia hanyalah perbuatan memacak sebatang besi di satu-satu tempat, tetapi lama-kelamaan ia membesar dan terus membesar dengan pelbagai tambahan binaan yang lain.

Lebih memburukkan lagi keadaan kuil yang dibesarkan itu juga berkemungkinan menutup terus kawasan pejalan kaki sedia ada sebelum itu.
Malah kuil “haram” yang dibina terletak di kawasan yang sangat tidak sesuai dan membahayakan keselamatan orang ramai. Misalnya, terdapat kuil yang dibina betul-betul di simpang masuk ke hospital.
Selain itu, ada juga yang dibina di rizab jalan tanpa memikirkan risiko yang bakal terjadi. Keadaan ini amat membahayakan pengguna jalan raya yang memandu laju di lorong kecemasan jika terdapat sesuatu kes kecemasan. Keadaan menjadi lebih buruk jika ada upacara keagamaan di situ, sudah tentu kawasan sekitarnya menjadi sesak.
Justeru, kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat perlu bertindak segera jika tidak mengingini kejadian seperti di USJ berulang kembali.
Sewajarnya kerajaan dan pihak terlibat memberikan perhatian serius terhadap isu ini. Jika ia terus berlarutan berkemungkinan besar akan berlaku pula “krisis perkauman” di negara ini. Pastinya kita tidak mahu sama sekali ia berlaku.
Perkara ini amat membimbangkan jika tidak segera ditangani secara berhemah kerana ia melibatkan sensitiviti kaum atau kelompok dalam masyarakat kita.
Mungkin langkah terbaik yang boleh diambil oleh kerajaan adalah mewartakan rumah ibadat yang bersesuaian dan dibina di lokasi tertentu. Kemudian pihak yang bertanggungjawab perlu membuat pemantauan dan kawalan secara konsisten dari masa ke masa.
Ini bukanlah isu yang mudah, justeru kerajaan perlu memikirkan cara terbaik untuk menanganinya agar sesuatu tempat ibadat dapat berjalan dengan baik tanpa berlakunya apa-apa kekecohan pada masa akan datang.
Selain itu, kerajaan juga tidak boleh berdiam diri sebaliknya memainkan peranan penting dalam perkara ini dengan segera dan cekap. Jangan mengambil masa terlalu lama sehingga membuka ruang kepada pihak pengambil kesempatan bertindak ke atas kemelut yang berlaku.
Kerajaan juga perlu mengambil perhatian dan tindakan segera terhadap pihak-pihak yang sama ada gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan, atau yang memanipulasi keadaan sekali gus mengeruhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Bukankah negara ini mempunyai undang-undang yang terpakai ke atas semua orang? Ini bermakna semua orang terikat dengan undang-undang sama tanpa ada pihak yang terkecuali. - FMT
Oleh : Dhia Hani, beliau adalah ahli Persatuan Pemikir Muda Johor dan pembaca FMT

Subscribe to receive free email updates: