PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyangkal laporan kononnya aset tentera dikerah ke Putrajaya seperti yang ditularkan di media sosial.
Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata perkara itu tidak benar dan hanya merupakan spekulasi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya sendiri berada di Putrajaya dan aset ATM seperti kereta kebal dan kenderaan tentera yang lain tiada di sini.
"Apa yang tersebar di media sosial itu hanyalah laporan berita palsu semata-mata ingin menimbulkan kegusaran masyarakat," katanya kepada Bernama malam ini.
Raja Mohamed Affandi menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai laporan berita palsu sedemikian dan menyemak kesahihan berita yang tersebar di media sosial.
Raja Mohamed Affandi menegaskan orang ramai tidak perlu panik kerana keadaan di Putrajaya ketika ini terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Tinjauan Bernama malam ini mendapati memang tiada sebarang aset ATM di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu, dan seperti yang dinyatakan Panglima ATM, keadaan di sini terkawal.
Hanya beberapa jalan ditutup dan dikawal polis sebagai langkah berjaga-jaga.
Rakyat Malaysia mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 hari ini, bagi memilih kerajaan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan turut menafikan penularan khabar angin menerusi gambar-gambar di media sosial yang kononnya menunjukkan penempatan aset tentera darat dan anggota untuk mengawal di Putrajaya.
Pihak tentera darat memohon agar penularan gambar berkenaan dihentikan segera dan meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan berita palsu itu. #sumber