KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan beliau menganggap orang Melayu bodoh.
Pendapat itu dibuat Mahathir sebagai respons kepada kenyataan Najib sewaktu memberikan alasan di sebalik kegagalan 1MDB membayar hutangnya.
“Pendapat Najib ialah orang Melayu bodoh. Bagi duit secara langsung kepada orang Melayu, mereka tidak akan soal lagi di mana pergi AS$600 juta.
“Yang hilang duit kerajaan. Wang tunai yang diberi secara langsung lebih mudah dirasai dari duit berbilion yang hilang oleh kerajaan,” katanya.
Najib semalam memberikan alasan “soal teknikal sahaja bukan soal tidak dapat bayar balik” sewaktu menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat tentang kegagalan 1MDB membuat sebarang bayaran RM2.58 bilion kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).
Dalam tulisan di blognya, Mahathir berkata “orang Melayu bukan bodoh seperti disangka oleh Najib”.
“Mereka sudah sedar duit yang hilang itu adalah duit mereka. Hutang juga akan dibayar oleh mereka dan anak cucu mereka.
“Hutang yang tidak dibayar oleh Najib akan dipikul oleh rakyat termasuk orang Melayu. Maka akan dinaikkan cukai GST dan lain-lain,” katanya.
Mahathir juga memberi bahawa kegagalan membayar hutang boleh menyebabkan negara muflis.
“Tabung kerajaan akan merosot. Bukan sahaja dana untuk pembangunan akan kurang dana untuk operasi juga akan terhakis. Akan merosot berterusanlah ekonomi negara,” katanya