Syed Husin tukar nada, gesa penyokong PH 'terima' Dr Mahathir jadi PM kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali mengambil sikap berbeza berbanding sebelum ini, apabila meminta penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) akur dengan pengumuman Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri 'sekejap', pada semalam.
 
Bagaimanapun beliau dalam masa sama mengakui mempunyai pandangannya tersendiri namun enggan berkongsi mengenainya.
 
Syed Husin berkata apa yang penting ketika ini adalah menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat agar gagasan pembangkang itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Saya ada pandangan yang saya kumpulkan. Namun sekarang semua pihak kena akur, termasuk saya.
 
"Keputusan pimpinan sudah bulat. Yang perlu semua pihak mesti akur. Memang ada perbezaan pandangan, ada suara kecil tidak berpuas hati, namun tak perlu diperbesarkan. 
 
"Tumpu kepada kerja, dasar kerana ada di antaranya sudah diterangkan dalam pengumuman semalam. Sekarang ini tumpu kepada kerja, jangan dialih pandangan pada soal calon perdana menteri," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Syed Husin sebelum ini dilihat mempunyai pandangan berbeza dengan pendirian PH untuk menamakan Dr Mahathir, yang juga pengerusi gagasan pembangkang itu sebagai calon perdana menteri sementara.
 
Antara yang dipetik menerusi posting di laman Twitternya adalah;
 
"Cekdet kata pada 4hb (Januari) akan diketahui calon PM Harapan. Kenapa dia terburu-buru nak umumkan namanya? Lagi awal umum lagi banyak bangkai boleh digali.
 
"Dah bagus-bagus minta maaf. Kenapa lepas itu kata cuma adat dan tak mesti mengaku salah? Patutnya minta maaf dengan mangsa-mangsanya. Barulah benar-benar ikhlas," demikian menurut Syed Husin.
 
PH pada semalam mengumumkan gandingan Dr Mahathir dan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan, jika gagasan itu menang dalam PRU14 kelak.
 
Bagaimanapun tempoh pentadbiran Dr Mahathir hanya bersifat sementara berikutan PH akan mengusahakan pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melantiknya sebagai calon perdana menteri kelapan, menggantikan Dr Mahathir, jika gagasan itu menang PRU14.
 
Anwar pada semalam disahkan Jabatan Penjara akan dibebaskan pada 8 Jun 2018, iaitu dua hari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.
 
 

Subscribe to receive free email updates: