PH mulakan episod krisis baru sebaik umum Dr Mahathir sebagai PM 'sekejap' kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Zeanaaima Md Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak sampai 24 jam pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan (PH), bertalu-talu reaksi kecewa dilontar ahli akar umbi, juga tidak kurang pimpinan kanan gagasan itu.
 
Situasi itu menurut bekas pengasas PPBM, Anina Saaduddin menandakan PH kini memulakan episod krisis baru dalam gagasannya.
 
"Takziah juga kepada pembangkang, mana tidaknya tidak sampai beberapa jam pengumuman itu bait-bait perpecahan dalaman sudah timbul.  
 
"Terdapat sumber dalaman memberitahu sudah mula suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpin serta ahli PAN (Amanah) yang rasa tertipu sebaik pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
 
"Kemudiaan, terbaru PKR Selangor juga mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan dibuat semasa konvensyen.
 
"Jelas disini, pengumuman tersebut sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan tapi sebaliknya memberikan implikasi yang buruk kepada pembangkang sehingga menambah kecelaruan dan tidak mustahil bakal mengundang perpecahan dalaman dikalangan rakan parti dalam gabungan itu," katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.
 
Semalam Amanah Johor dan Perak memboikot Konvensyen PH yang berlangsung di IDCC, Shah Alam berikutan keputusan agihan kerusi yang pada mereka mengecewakan.
 
Beberapa pemimpin meminta agar Amanah menghormati keputusan yang dicapai pada saat-saat akhir iaitu pada malam menjelang konvensyen gabungan empat parti itu diadakan, pada Ahad. 
 
Belum reda isu ketidakpuasan perihal agihan kerusi, penyokong serta pemimpin PH sekali lagi diduga dengan pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri 'sekejap', sementara calon utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan Yang Di-Pertuan Agong.
 
Jika pemimpin PH sendiri berasa kecewa dengan pengumuman itu, Anina bertanyakan apakah perasaan rakyat terbanyak di negara ini.
 
"Jika PAN (Amanah) Johor dan Perak serta PKR kecewa dengan keputusan pencalonan semasa konvensyen itu, rakyat dibawah ini pastinya lebih kecewa apabila mereka meletak calon  yang sudah banyak kali melakukan onar kepada negara.
 
"Lebih hebat dari itu, adakah Tun Mahathir akan berjaya menjadi satu-satunya perdana menteri yang menjadi perdana menteri semula selepas menjatuhkan dua orang perdana menteri selepasnya. Adakah ini rekod yang mahu dicipta oleh rakyat Malaysia?," soal Anina.
 
Anina yang juga Presiden Empirical Malaysia mengucapkan tahniah kepada PPBM kerana mendapat kerusi paling banyak dalam PH untuk dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, biarpun baru setahun jagung ia ditubuhkan.
 
"PPBM boleh tersenyum dengan kerusi Parlimen paling banyak mereka peroleh, namun perlu diingat tanpa kerjasama dan persefahaman dengan rakan parti lain mustahil mereka mampu bergerak bersendirian untuk berdepan pilihan raya kerana jentera yang dimiliki tidak sekuat rakan parti pembangkang seperti PAN (Amanah) dan PKR," ujarnya.
 
PPBM berjaya mendapat 52 kerusi walaupun ketika ini hanya memiliki satu kerusi Parlimen yang disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin, sementara PKR (52), DAP (35) dan Amanah hanya 27 kerusi.
 
 

Subscribe to receive free email updates: