PH patut kemuka calon PM muda, kata bekas pemimpin PKR kabarmalay3.blogspot.com

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas ketua pemuda PKR Datuk Ezam Mohd Nor berpandangan, langkah Pakatan Harapan (PH) melantik Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, merupakan satu tindakan terkebelakang.
 
Ini kerana ujar beliau, parti pembangkang itu mempunyai ramai calon muda yang boleh diketengahkan sebagai calon perdana menteri jika mereka berjaya menang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
 
"Apabila PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri untuk PRU ke-14, saya percaya ianya langkah yang salah dan ke belakang.
 
"Negarawan seperti Dr Mahathir seharusnya perlu kekal sebagai negarawan. Beliau pula bukan negarawan biasa, sebaliknya negarawan ulung dan terbilang.
 
"Negara perlukan Dr Mahathir sebagai negarawan, bukan membiarkan beliau kembali menjadi politikus yang oversupply (berlebihan) di Malaysia ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
 
 
Antara tokoh yang beliau namakan untuk menjadi calon PM adalah, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, bekas menteri besar Kedah yang kini Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
 
Semalam PH mengesahkan pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri dan akan bergandingan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
 
PH juga akan mengusahakan pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja mereka menang dalam pilihan raya dan akan mengangkatnya sebagai perdana menteri seterusnya.
 
Sebelum ini, Ezam ada menamakan Azmin sebagai salah seorang calon yang dilihatnya layak menjadi perdana menteri, sementara anak Dr Mahathir, Mukhriz pula sebagai timbalannya.
 
Dalam kenyataan itu lagi, Ezam yang juga Pengasas Hisbah Centre for Reform mendakwa, ada kelompok tertentu dalam PH mempunyai agenda tersendiri apabila menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
 
Menurutnya tindakan itu dibuat supaya mereka dapat menafikan peluang untuk tokoh muda terbabit menjadi "kepala perang" sekali gus "menutup peluang" kelompok terbabit kemudiannya.
 
"Amat malang apabila di saat negara-negara lain di dunia memberikan peluang dan menjulang tokoh muda, kita masih di takuk lama.
 
"Bukan kerana kita tidak ada tokoh muda yang handal dan kental, tetapi kerana permainan politik sempit beberapa kerat orang yang takut hilang kuasa.
 
"Lebih malang, mereka yang takut ini juga adalah daripada kalangan pihak yang menggelar diri mereka pejuang rakyat, reformasi dan progresif," katanya.

Subscribe to receive free email updates: