Nizam: Konvensyen Pakatan Harapan Pahang Pada 27 Januari Ini kabarmalay3.blogspot.com


KUANTAN: Pakatan Harapan Pahang akan mengadakan konvensyennya pada 27 Januari ini, bagi memperkuatkan dan memantapkan kesatuan gabungan parti itu.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Ahmad Nizam Hamid berkata, ia juga diadakan bagi merangka gerak kerja dengan misi untuk 'menurunkan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menumbangkan Umno serta BN pada PRU 14.

Menurutnya, gagasan Pakatan Harapan masih berteraskan reformasi dan sudah pasti pihaknya berusaha untuk menawan parti Umno dan BN.

"Atas alasan itu kita anjurkan konvensyen dan ia pasti diisi dengan perbahasan rakyat dengan pelbagai perbincangan dasar, perbahasan pemimpin serta polisi.

"Pihak sekretariat konvensyen ini sudah menerima pengesahan kehadiran daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan iaitu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Sallehuddin Ayub (Parti Amanah).

"Buat masa ini, pihak kita masih menunggu pengesahan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk hadir sama pada konvensyen tersebut atau sebaliknya ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Adun Semambu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Kamarzaman Mohamed Yunus.

Konvensyen itu akan diadakan di Restoran Mun Ching, Jalan Air Putih, di sini pada jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

Dalam pada itu, Ahmad Nizam berkata, konvensyen akan dihadiri 600 orang anggota daripada keempat-empat parti Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP, Parti Bersatu dan Amanah,

Jelasnya, selain anggota parti, rakyat di negeri ini boleh turut serta dalam konvensyen tersebut bagi menyokong usahanya Pakatan harapan untuk merealisasikan mimpi memartabatkan kuasa rakyat. #sumber

Subscribe to receive free email updates: