Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan sokongan musuh politik mereka Parti Amanah Negara (AMANAH) akan merosot ke tahap amat rendah 0.5 peratus.
Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata ia susulan pendirian parti serpihan mereka itu yang didakwa bercelaru dalam isu cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) peristiwa Memali 1985.
Zuhdi menjangkakan perkara itu dengan mengambil kira dapatan tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) sebelum ini, yang katanya sokongan terhadap AMANAH berada di tahap 1 peratus.
“Sememangnya tragedi Memali merupakan sesuatu yang cukup terkesan kepada hati para pendukung PAS ketika itu, justeru ia amat sukar dipadamkan,” kata Zuhdi.
“Bagaimanapun, sikap pimpinan utama PAN dan pemudanya yang memperlekehkan desakan pelbagai pihak supaya ditubuhkan RCI Memali, akan menyebabkan ahli-ahli mereka dari kalangan bekas-bekas pendukung PAS mula berfikir tentang kesahihan hala tuju parti tersebut.”
Pemimpin-pemimpin AMANAH semalam menawarkan diri untuk memberi keterangan dalam RCI bagi menyiasat peristiwa berdarah yang mengorbankan 18 nyawa, termasuk empat anggota polis itu.
Pemudanya pula berpendirian RCI itu harus menyeluruh, termasuk melihat kesan 'Amanat Hadi' oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kegiatan kafir mengkafir dan “keganasan” polis.