Chandra Muzaffar merujuk langkah demokrasi yang dijanjikan PH dan kesedaran politik orang ramai sejak zaman kegemilangan Dr Mahathir.
PETALING JAYA: Aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yakin ada langkah cukup untuk menghalang kebangkitan autokrasi Mahathirian, jika bekas perdana menteri itu dilantik sebagai perdana menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Chandra yang juga presiden Pergerakan Antarabangsa bagi Dunia Adil, merujuk langkah pendemokrasian yang dijanjikan PH dan kesedaran politik orang ramai sejak zaman kegemilangan Dr Mahathir.
“Hari ini, dibandingkan dengan 1980-an dan 1990-an, rakyat lebih sedar tentang akauntabiliti, ketelusan, hak demokratik dan kebebasan serta kepentingan menghormati perbezaan pendapat,” katanya.
Beliau turut membangkitkan pengumuman PH untuk memberi kuasa kepada Parlimen bagi melantik individu yang mengetuai pasukan polis, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Peguam Negara dan institusi penting lain.
“Institusi ini akan diberi keutamaan lebih besar dan diperkukuhkan apabila mereka bebas dan berautonomi.
“Apabila anda mempunyai institusi bebas dan berautonomi, apabila anda memberi mereka perisai perlindungan, anda meletakkan pengawasan ke atas kuasa eksekutif.
“Oleh itu, tidak mungkin Dr Mahathir dapat menggunakan kuasa seperti yang pernah dilakukannya pada masa lalu,” katanya.
Chandra berkata demikian selepas pengumuman PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka.
Pengumuman yang dibuat pada konvensyen tahunan gabungan 4 parti pembangkang itu Ahad lalu, dihujani kritikan daripada parti pemerintah dan pembangkang lain.
Sebagai contoh, Sangeet Kaur Deo, ahli DAP yang juga anak perempuan bekas pemimpin Karpal Singh, membidas keputusan itu sebagai tanda kelahiran semula amalan Mahathirisme.
Chandra berkata, istilah Mahathirisme difahami dalam cara berlainan oleh orang berbeza.
“Ia dicipta penganalisis pada 1990-an untuk menggambarkan kecenderungan ke arah autoritarianisme dan kurangnya penghormatan terhadap perbezaan pendapat.
“Tetapi, dari sudut positif, orang kata Mahathirisme juga bermakna penekanan kuat terhadap pembangunan dan ekonomi.”
Sejarawan terkemuka, Tan Sri Prof Khoo Kay Kim mendapati sukar meramalkan sama ada kemunculan semula Dr Mahathir di pejabat Perdana Menteri bermakna kemunculan semula Mahathirisme.
“Mahathirisme membuahkan hasil kerana Dr Mahathir lelaki yang sangat bijak yang menabur banyak janji kepada rakyat dan mereka percaya kepadanya.
“Tiada cara untuk mengetahui sama ada Mahathirisme akan muncul semula sehingga ia berlaku,” katanya.