Perkasa: PH tak hormat undang-undang, Agong pilih Anwar jadi PM kabarmalay3.blogspot.com

 
Ibrahim Ali mendakwa rancangan PH itu menunjukkan keluarga Anwar bercadang menguasai kepimpinan negara dan seolah-olah tiada pemimpin berwibawa dalam PH untuk memimpin Malaysia.


ibrahim-ali

KUALA LUMPUR: Perkasa menyifatkan rancangan Pakatan Harapan (PH) hendak mendapatkan pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memilih banduan itu sebagai perdana menteri, tidak menghormati undang-undang serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, rancangan itu jelas menunjukkan PH akan bertindak sewenang-wenangnya apabila mereka memerintah negara.

“Bagi saya seseorang nak dapat pengampunan Agong, dia kena ikut proses. Tak boleh kata selepas menang, kita akan dapatkan pengampunan dan dia akan jadi perdana menteri.

“Tak, ada prosedur yang perlu dipatuhi. Ada Lembaga Pengampunan…Lembaga Pengampunan bermesyuarat dan sudah tentu dipengerusikan perdana menteri yang baru, tetapi akhirnya Agong yang buat keputusan.

“Jadi, seolah-olah pengumuman ini membelakangi undang-undang dan juga kedaulatan dan kedudukan Agong,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Ahad lalu, PH mengumumkan hasrat untuk menyegerakan proses mendapatkan pengampunan diraja bagi membebaskan Anwar dari penjara, jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, tindakan itu bertujuan membolehkan Anwar dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

PH memilih Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri ke-7 dan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku timbalan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Ibrahim mendakwa rancangan PH itu menunjukkan keluarga Anwar bercadang menguasai kepimpinan negara dan seolah-olah tiada pemimpin berwibawa dalam PH untuk memimpin Malaysia.

“Ini tak boleh. Mana letak kedaulatan payung negara Yang di-Pertuan Agong dan akhir sekali kita tengok politik pembangkang, pemenangnya PKR.

“Siapa pemenang PKR? Tiga beranak, Anwar Ibrahim, isteri dia dan anak dia. Isteri akan jadi timbalan perdana menteri, kemudian lepas itu bersara, suami pula jadi perdana menteri dan tentulah anaknya juga jadi anggota Kabinet.

“Jadi, Malaysia ini kepunyaan Anwar Ibrahim, seolah-olah tak ada pemimpin lain yang berupaya dan berwibawa untuk menjadi perdana menteri selain Anwar Ibrahim…bagi saya, secara peribadi ini amat memalukan.”

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan tujuan pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri ke-7 untuk tempoh singkat.

“Saya tak kisah mereka bincang dia 93 tahun, layak ke tak layak..saya tak persoalkan itu, tetapi saya persoalkan asas perdana menteri 6 hingga 12 bulan.

“Apa yang Tun boleh buat 6 hingga 12 bulan? Nak ubah dasar, nak ubah peraturan, anda kena ke Parlimen, proses Parlimen berbulan-bulan,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: