Ibrahim Ali berkata, 52 kerusi yang akan ditandingi PPBM itu adalah milik BN.
KUALA LUMPUR: Tidak mudah untuk PPBM memenangi 52 kerusi “heavyweight” yang diperuntukkan kepada parti itu pada pilihan raya umum ke-14, kata Datuk Ibrahim Ali.
Ini kerana, kata presiden Perkasa itu, kerusi itu disandang pemimpin BN.
“Kerusi yang saya rasa bolehlah nak bertanding, tapi tak mudah.
“Tengok (52) kerusi ‘heavyweight’ yang disandang pemimpin BN,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.
Ahad lalu, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan gabungan 4 parti itu bersetuju mengagihkan 52 daripada semua 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia kepada PPBM, PKR (51), DAP (35), Amanah (27) pada PRU14.
Mengulas lanjut, Ibrahim sebaliknya berkata, PKR dan DAP mampu memenangi kerusi yang bakal ditandingi mereka.
“PKR muncul sebagai pemenang dalam pembahagian itu kerana kerusi yang diberi kepada PKR, kalau ikut perkembangan semasa, kerusi yang ada kemungkinan nak menang.
“DAP dia kekal dengan kekuatan macam biasa, tetapi dia boleh tuntut kerusi yang ada dan dia akan menang semua kerusi (itu),” katanya.