Pihak berkuasa Pakistan merampas 4 pistol, 8 lelopak peluru dan 70 peluru yang disembunyi dalam bagasi serta tapak kasutnya.
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Malaysia yang disyaki ada kaitan dengan IS ditahan di sebuah lapangan terbang di Pakistan, semalam bersama senjata api dan peluru yang disembunyi dalam bagasi serta kasutnya.
Portal berita Pakistan, Express Tribune melaporkan Al Muhd Alfie Kqhyriel ditahan ketika cuba menaiki sebuah pesawat Thai Airways ke Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa turut merampas 4 pistol, 8 lelopak peluru dan 70 peluru yang disembunyi dalam bagasi serta tapak kasutnya.
Potal berita itu melaporkan agensi perisikan Pakistan kemudiannya menyoal siasat lelaki itu berhubung kaitannya dengan IS dan punca dia menyeludup senjata api dan peluru.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dipetik Bernama mengesahkan penahanan lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.
“Berdasarkan maklumat awal, kami sahkan yang lelaki warga Malaysia telah ditahan di Pakistan.
“Pihak polis akan berhubung dengan pihak berkuasa di Pakistan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Gambar lelaki itu ditahan di lapangan terbang Pakistan serta pasport miliknya kini tersebar di laman sosial hari ini.