Suspek bunuh Sub Inspektor ditahan
LELAKI, Mohd Hatta Johari, 30, atau dikenali Hatta yang diburu polis bagi membantu siasatan kes tembak mati Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, di Taman Seri Hosba, Changlun, semalam sudah ditahan hari ini.
Suspek ditahan di perkarangan Balai Polis Jitra oleh polis jam 4 petang selepas hampir empat jam gambarnya disiarkan di media.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid mengesahkan penahanan suspek petang tadi dan akan memohon reman esok bagi membantu siasatan.
"Ya kita ada tahan seorang lelaki petang tadi di Jitra susulan kes tembak anggota polis," katanya ketika dihubungi.
Portal Harian Metro hari ini melaporkan, polis sedang mengesan dua lagi lelaki iaitu Hatta dan Mohd Najib Budin, 36, yang dipercayai terbabit dalam penyeludupan.
Mereka dicari bagi membantu kejadian kes tembak mati Sub Inspektor Abu Hashim Ismail di Taman Seri Hosba, Changlun, semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, mereka dicari kerana pihak polis percaya ada kaitan dalam kes itu namun usaha memburu suspek yang menembak mangsa masih dijalankan.
Harian Metro