Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’. (ketika itu UMNO dikatakan mengamalkan politik suku agama suku)
DEMIKIAN petikan kata-kata yang dijadikan ‘Amanat Hadi Awang 1981’ yang tidak sepatutnya bangsa Melayu dan Islam di negara ini juga lupakan, sebagaimana mereka tidak lupa kepada Peristiwa Memali di Baling, Kedah, yang berlaku pada 19 November 1985.
Ketika itu Pedang bertugas sebagai wartawan di Alor Setar. Kerana fokus Pedang ketika itu sebagai wartawan jenayah, maklumat awal kemungkinan ‘peristiwa besar berdarah’ bakal berlaku sudah Pedang hidu, hasil maklumat rakan-rakan yang menjadi pemandu ambulans hospital, yang menceritakan mereka diarah ‘standby’.
Pedang meletakkan Amanat Hadi Awang 1981 itu, bagi mengingatkan kita supaya tidak hanya melihat kesalahan sebelah pihak sahaja – kerajaan ketika itu.
Sebaliknya, amanat itulah yang menjadi punca kepada peristiwa hitam berkenaan. Perlu diingat, ketaksuban pengikut PAS pada lewat 70-an dan 80-an amat kuat, khususnya di kampung dan pedalaman. Di kampung Pedang pun ‘lubuk PAS’ ada juga yang taksub.
Malah, daripada amanat itulah tercetusnya isu mengkafirkan orang UMNO atau penyokong mereka, sembahyang dua imam, tidak menyambut Aidilfitri serentak.
Akad nikah oleh kadi kerajaan UMNO tidak sah, kena nikah semula. Haiwan sembelihan orang UMNO haram. Haram hadir kenduri kendara orang UMNO. Mereka tak hadir jika kerusi atau kehmah kenduri kahwin ada lambang UMNO. Lebih teruk, jenazah orang UMNO haram disolatkan. Suami isteri bercerai-berai, keluarga berpecah-belah. Perpaduan umat Islam rosak hancur.
Jika dikaji lebih mendalam, semuanya berlaku di kampung yang jauh daripada pembangunan. Contohnya di Kampung Memali yang terletak di Mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Mereka senang dipengaruhi ustaz-ustaz yang pulang dari luar negara.
Itulah antara kesannya daripada amanat Hadi Awang. Apakah Hadi tidak menyedari bahawa disebabkan kata-katanya itu telah mengorbankan pengikutnya, menyebabkan isteri menjadi janda dan anak kehilangan bapa?
Jika ada gesaan supaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf di atas peristiwa itu, Pedang rasa yang lebih awal dan perlu meminta maaf ialah Tuan Guru sendiri. Hadi Awang lebih arif mengenai bab-bab agama, juga bijak dalam politik.
Jika zaman sekarang, kata-kata seperti amanat itu dibuat dan disebarkan, sudah tentu ia dianggap militan dan ditangkap.
Pedang kadang-kadang menyokong penuh apa yang dilakukan PAS, khususnya dalam usaha memartabatkan Islam. RUU355 contohnya, Pedang sokong 100 peratus.
Tetapi, tidak semua apa yang dilakukan parti Islam itu boleh disokong 100 peratus. Kalau kita sokong 100 peratus maka kita adalah penyokong taksub membabi buta.
Portal Pedang ini pun banyak menyiarkan kenyataan pemimpin PAS. Kita bagi sokongan. Tetapi, teguran daripada orang lain, termasuk Pedang kena juga didengari.
Jadi, Pedang ulangi sekali lagi.
“Jika Hadi Awang menyedari bahawa kata-kata yang pernah beliau keluarkan – ketika berceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dicetak dan disebar seluruh negara – menjadi punca ketaksuban seperti yang Pedang katakan di atas, sehingga mencetuskan Peristiwa Memali, adalah wajib beliau memohon maaf.”
Apakah Tuan Guru sudah lupa kepada ucapan itu? Bila Tuan Guru akan mohon maaf secara terbuka?
Sebagaimana PAS tidak yakin Dr Mahathir akan memohon maaf terhadap peristiwa Memali itu, demikian juga Pedang yakin Tuan Guru tidak akan memohon maaf atas amanat yang dikeluarkannya yang telah memberi kesan seperti di atas.
Demikianlah, hangatnya isu Memali ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, pada 5 Ogos lalu ke Baling dan membuat kenyataan bahawa Dr Mahathir berbohong mengenainya.
Kenyataan itu disambut pantas oleh PAS, yang membangkitkan semula isu berkenaan, tetapi mengetepikan atau tidak melihat dan mengaitkan punca sebenar peristiwa itu adalah disebabkan ketaksuban penyokongnya terhadap Amanat Hadi Awang 1981.
Apapun, jangan kita lupa apa yang sedang berlaku di negara ini sekarang ini.
Dulu rakyat tak menanggung beban seteruk sekarang. Kononnya, pertumbuhan ekonomi negara memberangsangkan. Cubalah tanya penduduk Kampung Memali mengenai ekonomi negara yang dikatakan membanggakan itu. Ada depa peduli?
Yang mereka peduli sekarang ini ialah harga minyak naik, harga barang naik, wang kerajaan dicuri.
Kata Pedang: Demikianlah jangan mengangkat sesuatu isu lama untuk mengalihkan perhatian atau menutup busuknya apa yang sedang berlaku sekarang ini. - ismaweb