Pasaran kerja sudah lama suram, kata graduan kabarmalay3.blogspot.com

 
Beberapa graduan mengakui mereka yang tidak berpengalaman berdepan cabaran besar dalam mencari kerja.


jobs-see

PETALING JAYA: Beberapa graduan yang menganggur berkata, ramalan mengenai pasaran kerja suram pada 2018 bukan isu baru.

Mereka memberitahu FMT amat sukar mencari kerja yang baik dan tidak dapat membayangkan keadaan lebih sukar pada tahun depan, sebagaimana diramalkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dan 2 pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping dan Dr Yeah Kim Leng.

Nur Ihsan Fadhlina, 24, giat mencari kerja sejak tamat pengajian 2 bulan lalu, namun beliau berkata, kebanyakan syarikat mahu calon berpengalaman.

“Persaingan adalah sengit. Calon berpengalaman mempunyai peluang lebih tinggi berbanding graduan yang baru tamat pengajian.

“Jadi, berapa banyakkah peluang mendapat pekerjaan jika kami tidak berpengalaman langsung?”
Pemegang ijazah kelas pertama itu berkata, beliau kurang bersemangat selepas semua permohonannya ditolak.

“Daripada 6 syarikat, tiada satu pun yang cuba meneliti permohonan saya.”

Fitri Salleh, juga berusia 24 tahun, sudah setahun mencari kerja.

Beliau berkata, kebanyakan permohonannya dibuat atas talian, tetapi tiada satu pun yang memberi respons.

“Ianya mungkin disebabkan bajet terhad.”

Graduan bidang kejuruteraan petroleum itu mengakui beliau perlu mempraktikkan kemahirannya untuk mendapatkan pekerjaan.

“Syarikat perlu membelanjakan wang tambahan untuk melatih kami (graduan tidak berpengalaman).
“Menguasai sesuatu skop kerja juga akan mengambil masa agak lama. Ini mungkin sebabnya mengapa mereka lebih gemar mengambil calon berpengalaman.”

Katanya, jumlah temu duga dihadiri beliau tidak terkira kerana beliau akan mengisi apa sahaja borang kekosongan jawatan walaupun tiada kaitan dengan bidang pengajiannya.

Seorang lagi graduan yang hanya mahu dikenali sebagai Faris berkata, beliau bekerja sebagai pemandu Grab sementara menunggu tawaran kerja tetap.

Megat Abdul Malik Joha pula lebih bernasib baik kerana berjaya diterima sebagai penulis iklan, selepas permohonannya ditolak beberapa syarikat sebelum ini.

Katanya, ada beberapa syarikat langsung tidak memberi respons kepada permohonannya dan syarikat yang menemu duga beliau biasanya akan bertanya jika beliau mempunyai pengalaman kerja.

“Setiap kali penemu duga mempersoalkan berkenaan ketiadaan pengalaman, ianya seperti berita buruk. Kamu boleh rasakan kebimbangan mereka hanya dengan mendengar nada suara mereka.

“Ianya tidak lagi semudah melayari internet, mencari, memohon dan dipanggil temu duga.”
Katanya, peluang diambil bekerja sangat rendah untuk graduan yang baru menamatkan pengajian.

Subscribe to receive free email updates: