GPMS gesa bubar Pasukan Petugas Dasar UEC
Tidak adil jika kerajaan rombak Dasar Pendidikan Kebangsaan hanya untuk iktiraf UEC
28 Rabiulakhir 1440H, Sabtu – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan, penubuhan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak lagi relevan kerana bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan majoriti rakyat Malaysia.
Serentak itu, Presidennya, Zambri Mohd Isa menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membubarkan pasukan petugas berkenaan yang ditubuhkan di bawah seliaan kementeriannya.
Beliau berkata, isu UEC bukan sahaja sensitif kepada orang Melayu, tetapi kerajaan juga harus mengambil kira perasaan bangsa-bangsa lain di Malaysia termasuk orang Cina, India dan lain-lain yang setia dan menerima sistem pendidikan kebangsaan.
“Adalah tidak adil sama sekali untuk pihak kerajaan merombak Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi memenuhi keperluan pengiktirafan UEC, yang hanya sebilangan kecil rakyat Malaysia memilih untuk tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Zambri berkata, GPMS bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa sebarang bentuk pengiktirafan UEC perlu dilihat dari faktor persekitaran semasa dan kesesuaian dari pelbagai sudut termasuk aspek tenikal dan persepsi masyarakat umum.
“GPMS menyokong penuh pendirian Perdana Menteri dalam isu UEC, dan membidas mana-mana pihak yang terus memberi tekanan serta mempertikaikan pendirian beliau dalam isu ini,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, pengiktirafan UEC perlu mengambil kira sensitiviti semua kaum dan bukan hanya kelompok tertentu sahaja.
Katanya, kerajaan sentiasa peka dan sensitif terhadap semua kaum dalam negara untuk memastikan rakyat terus memberikan sokongan.
Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut Sistem Pendidikan Kebangsaan. - ismaweb #CelahGelegar
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong bagi menjelaskan lebih lanjut kesan UEC dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Sejauh manakah Prof melihat sistem UEC?
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong bagi menjelaskan lebih lanjut kesan UEC dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Sejauh manakah Prof melihat sistem UEC?
KOK SEONG: Apa yang saya perhatikan UEC memberi kesan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana calon-calonnya akan merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada, khususnya pelajar berketurunan Cina.
Ini kerana sistem kuota masih terpakai dalam kes-kes tertentu walaupun meritokrasi merupakan amalan standard dalam pengambilan pelajar. Ia perlu diguna pakai untuk mengelak sesuatu kursus itu dipenuhi satu kaum sahaja akibat meritokrasi bebas.
Secara umumnya calon UEC juga akan menjejaskan peluang pelajar Cina yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pada saya, biarlah UEC terus kekal di atas paksi sedia ada tanpa wujud dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan. Sehubungan itu,adakah UEC juga boleh memberi kesan kepada Bahasa Melayu dan dilihat sebagai menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan?
Apa-apa jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu bahasa pengantar utama.
Dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan.
Ini jelas berada di luar sistem pendidikan negara. Sebenarnya semua sekolah menengah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan. Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya dengan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC.
Adakah permintaan Dong Zong yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC boleh dikatakan sebagai rasis dan menolak sistem perpaduan serta menentang Gagasan 1Malaysia?
Ia tidak boleh dikatakan rasis. Cuma persoalannya kini ialah mengapa sekolah persendirian Cina mahu berada dalam sistem pendidikan di peringkat atas iaitu hanya peringkat pendidikan tinggi? Ini jelas memperlihatkan sikap rakus dan mahu untung dalam semua hal.
Jika dilihat kembali pendidikan aliran Cina sebenarnya telah bermula di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) seterusnya ke sekolah tinggi persendirian Cina di peringkat menengah.
Ia dibuat supaya pelajar dapat terus belajar dalam bahasa berkenaan walaupun mahu ke universiti awam (UA) melanjutkan pendidikan tinggi. Inilah yang dikatakan rakus dan mahu meraih keuntungan pada semua peringkat dan setiap masa.
Apakah kesannya jika UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara?
Pertama sekali pada saya ia sangat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Jangan khianati golongan seperti ini.
Keduanya, pengiktirafan UEC akan mewujudkan contoh terdahulu seperti peperiksaan lain G.C.E A Level yang telah menerima desakan serupa. Maka kemungkinan akan ada lagi desakan lain demi kepentingan pihak tertentu.
Di samping itu, jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ia boleh di ibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’. Ini tidak adil kepada mereka yang bergelumang dengan sistem yang telah dicemuh banyak pihak sebelum ini. Dalam erti kata lain, jika UEC diiktiraf ia umpama satu bentuk penderhakaan kepada rakyat.
Apakah harapan Prof. dalam memajukan Dasar Pendidikan Kebangsaan?
Sesungguhnya, sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai cacat celanya. Malah ia telah ditambah baik, sama ada untuk pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Kita harus percaya dan yakin kepada sistem pendidikan kebangsaan yang kita bangunkan sendiri dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus menerima keyakinan daripada rakyat dengan kemampuannya dalam memajukan negara.
Saya berharap Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ilmu, manakala Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tidak kurang penting sebagai jambatan ilmu. Inilah sebaik-baik perimbangan untuk terus melindungi martabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.