KUALA LUMPUR : Masa sudah tiba untuk Parti Gerakan dan Barisan Nasional (BN) bangkit semula dan merampas kembali negeri Pulau Pinang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya walaupun pilihan raya umum (PRU) PRU12 dan PRU 13 melihat BN diasak dan diuji dengan hebatnya, ia tidak pernah mengalah, malah telah berjaya memperkasakan jentera-jenteranya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan lebih bersemangat.
Beliau juga yakin kini pendulum politik tanah air khasnya di Pulau Pinang telah berubah dan PRU14 akan merupakan masa parti-parti komponen BN bangkit semula.
“Pendulum kita akan naik semula. Inilah waktunya. PRU14 inilah kita bangun semula untuk tentukan kemenangan memihak kepada BN. Kecundangan yang dialami Gerakan (pada PRU12 dan PRU13) hanya sementara.
“Saya amat berharap semua calon DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kerusi Parlimen Gerakan akan memang dengan cemerlang dalam PRU14 nanti,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-46 di Menara PGRM di sini, hari ini.
Memetik kejayaan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang mencatat kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum negara itu baru-baru ini sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata peristiwa itu menunjukkan bahawa adalah tidak mustahil untuk BN menang dengan lebih besar jika semua parti komponen mengembleng dan memperkukuhkan kerjasama mereka.
Tegasnya, kerjasama erat antara semua parti-parti komponen adalah penting dalam membawa dan memastikan kejayaan lebih besar kepada BN nanti.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata lebih 87 peratus janji-janji kerajaan BN dalam Aku Janji telah berjaya ditunaikan sejak 2013, berbanding dengan pembangkang yang hanya mampu menabur janji kosong.
Katanya, usaha-usaha ini akan diteruskan dan parti-parti komponen BN harus bekerja keras memastikan ia diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada BN pada PRU14 nanti.
“Jika kita lihat, walaupun prestasi kita pada PRU11, PRU12 dan PRU13 merudum, tetapi graf ini boleh berubah. Yang tidak boleh kita ubah hanya jika kita tidak berusaha,” katanya.
“Justeru, kali ini saya seru kepada rakyat, cukup la, kita tolak (DAP), berilah kepercayaan semula kepada Gerakan dan parti lain dalam BN pada PRU14 nanti,” kata Ahmad Zahid.
Menyentuh mengenai banjir besar yang melanda Pulau Pinang pada 5 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri berkata bencana itu membuktikan BN adalah buta warna dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat.
Malah ia juga tidak berlengah dalam menggerakkan misi kemanusiaan ke negeri itu.
Katanya skala kemusnahan yang dialami tidak akan sebegitu besar jika kerajaan negeri itu mengutamakan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan adalah dirancang dengan baik.
“Saya buta warna dalam beri bantuan kepada mangsa banjir. Ini sikap kita dalam BN. kita tak politikkan isu ini, kita tak ambil kesempatan,” kata beliau.
Katanya apa yang berlaku juga menunjukkan sudah sampai masa untuk BN mengambil balik Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan Gerakan supaya memperkukuhkan unit media sosial jentera pilihan rayanya dalam menangkis berita palsu dan kebencian yang disebar pihak pembangkang untuk memburukkan parti tersebut.
Turut hadir Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, timbalan beliau Dr Cheah Soon Hai serta barisan kepimpinan tertinggi Gerakan.
Seramai 1,778 atau 76 peratus daripada 2,340 perwakilan nasional Gerakan menghadiri persidangan kali ini.— BERNAMA