Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang yang mengarahkan agar tiada permit dikeluarkan kepada penganjur pesta Centro Mall German Food & Beverages Festival.
Menurut Yasid, surat yang diterima pada petang semalam menyatakan polis tidak menyokong permohonan penganjur iaitu Centro Properties Group Sdn. Bhd., atas tiga sebab iaitu ancaman keselamatan atau militan, sensitiviti masyarakat dan bantahan masyarakat.
"Yang pertama sekali dinyatakan atas sebab ancaman keselamatan atau militan, keduanya sensitiviti masyarakat dan ketiga bantahan daripada masyarakat serta NGO. Ini paling banyak kita dapat, saya sendiri menerima bantahan masyarakat dan NGO," katanya kepada Antarapos.
Justeru tegasnya, MPK tidak akan mengeluarkan sebarang permit kepada penganjur ekoran pihak berkenaan gagal membawa surat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Yasid berkata ini kerana surat sokongan daripada polis merupakan salah satu daripada 15 syarat yang perlu dipatuhi oleh penganjur berkenaan, sebelum permit dikeluarkan MPK.
"Mereka (penganjur) tak penuhi, maka kita tak keluarkan permit itu. Mereka tak dapat bawa surat sokongan polis, maka tiadalah.
"Perkara ini memang SOP (prosedur operasi standard) kita, dalam apa-apa permohonan yang sensitif, seperti lesen hotel bajet, pusat snuker, pusat hiburan keluarga, semua memang kita rujuk polis.
"Memang kita rujuk polis, dah jadi amalan kita, setiap kali kita hantar kepada polis dulu. Kalau polis kata boleh, kita akan luluskan. Kalau polis kata tak boleh, kita akan dengar," katanya.
Ramai pihak keliru
Ketika ditanya tindakan MPK meluluskan permohonan penganjur pesta tersebut sebelum ini, kata Yasid, lampu hijau diberikan kerana acara tersebut merupakan pameran makanan dan minuman Jerman dan tidak ada kena mengena dengan Oktoberfest, pesta arak yang mendapat bantahan ramai.
"Sebenarnya pesta yang kita luluskan ini bukan pesta arak. Yang kita luluskan adalah pesta makanan dan minuman Jerman, tapi bila sampai di luar, ia jadi lain. Bila bercampur-campur kenyataan, nampak seolah-olah seperti Oktoberfest pula.
"Sebenarnya tiada pun, sebab itu kita luluskan. Tiada kena mengena dengan Oktoberfest, tapi masyarakat terkeliru. Sebab itu semua bantah," tambah Yasid.
Bagaimanapun beliau tidak menolak, pihak penganjur pernah membuat permohonan untuk menganjurkan pesta seumpama Oktoberfest, namun MPK menolaknya mentah-mentah.
"Sebelum kita bawa masuk mesyuarat, masa dia mohon lagi, saya dengan pengarah lesen beritahu dia, kalau anda mohon pesta arak, memang kami takkan luluskan. Tak perlu buang masa kerana kita memang takkan luluskan. Tapi kalau anda nak mohon pesta lain, kami boleh pertimbangkan.
"Kemudian mereka datang kembali mahu memohon nak adakan pesta (German) Food and Beverages. Sebab itu kita bawa dalam mesyuarat, semua ahli majlis setuju untuk luluskan tanpa lalui pengundian, atas dasar permohonan itu adalah Food & Beverages," jelasnya.