Penyokong Pas berkumpul di Wisma Tok Guru bagi memasang bendera mereka malam ini. |
Usaha memasang bendera itu dikatakan sedang dibuat oleh Jabatan Amal Kelantan dengan dokongan ahli dan penyokong Pas.
Menurut Hazmin Hassan, Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Pas membuat provokasi dengan memasang bendera Pas di bangunan Wisma Tok Guru itu.
“Kami akan membiarkan bendera Pas yang dipasang di luar bangunan ini di situ. Kita tidak akan buang,” katanya dalam ucapan kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) yang turut berkumpul malam ini.
Wisma Tok Guru menjadi pertikaian apabila Setiausaha Kerja Pas Kelantan dikatakan membeli bangunan yang dijadikan bangunan pejabat Amanah itu dari isteri Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim, pemilik bangunan itu.
Sedangkan menurut Adun Salor yang juga Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa, ketika hayatnya Rosli telah menyerahkan tapak bangunan itu untuk digunakan oleh beliau sampai bila-bila.
Ia telah dibuat melalui satu surat bertulis kepada Husam. Dalam majlis perasmian nama bangunan itu, Rosli juga mengesahkan tanah itu diserahkan kepada Husam untuk digunakan.
Program Jom Pasang Bendera di bangunan PAS Salor itu dikatakan dianjurkan oleh Pemuda Pas Kelantan.
Ia turut disertai oleh Ketua Pemuda Pas, Mohamad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.
Ia telah menimbulkan kekecohan apabila Pemuda Amanah dengan bantuan Pemuda PH Kelantan bertindak menghalangnya.
Namun semua berakhir dengan aman apabila tidak ada sebarang insiden buruk berlaku. - malaysiadateline