BILA PULA HADI MAHU BERTAUBAT kabarmalay3.blogspot.com





Selain menyimpulkan mengundi Pakatan Harapan sama seperti mengiyakan kezaliman lama Tun Mahathir Mohamad, Presiden Pas Hadi Awang juga menuntut bekas Perdana Menteri itu agar bertaubat dan meminta maaf.

Kata beliau, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya bertaubat kerana menjadi punca kepada kerosakan sistem negara, pengurangan kuasa Raja-Raja, amalan demokrasi yang tempang dan menjadi diktator ketika zamannya.

"Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak meminta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia.

"Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah dan Bersatu adalah sama dengan mengundi dan mengiyakan kezaliman Mahathir," kata Hadi.
Memang tidak dinafikan ketika Tun Mahathir berkuasa dahulu, terdapat beberapa kelemahan atau ketidakwajaran yang telah dilakukannya.

Tetapi, sebahagian daripada ketidakwajaran itu, beliau bukan saja sudah mengakuinya, bahkan turut meminta maaf dengannya.

Ini menunjukkan beliau bukan saja ikhlas untuk menyelamatkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan oleh Najib, bahkan tiada sebab lagi untuk terus meraguinya.

Terus meragui dan mempertikai perjuangan Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan untuk menyelamatkan Malaysia tidak lain hanyalah kerana terlebih sayang kepada Najib berbanding masa depan negara, sedangkan pelbagai kerosakan dan kesengsaraan yang dilakukannya amat nyata.

Berkaitan pengurangan kuasa Raja-Raja, Tun Mahathir sebenarnya sudah pun meminta maaf kepada Agong pada 25 Ogos 2016 yang lalu.

Beliau meminta maaf berikutan tindakannya mengurangkan kuasa Raja-Raja melalui pindaan perlembagaan itulah yang akhirnya menyebabkan Akta Majlis Keselamatan Negara dipinda oleh Najib yang membolehkannya mengisytiharkan darurat di kawasan-kawasan tertentu, meskipun tidak ditandatangani oleh Raja-Raja.
Berhubung apa yang dilakukannya kepada Anwar Ibrahim, Tun Mahathir telah pun mengunjungi bekas Timbalan Perdana Menteri di mahkamah beberapa kali dan bersalam-salaman dengannya. 

Meskipun tiada kata maaf diungkapkan secara nyata, kesediaan Anwar menerima kunjungan Tun Mahathir secara empat mata dan bersalaman dengan erat memperlihatkan hubungan mereka sudah kembali jernih seperti sediakala.

Selain Anwar berkali-kali sudah memaafkan dan mengatakan tiada dendam antara beliau dengan Tun Mahathir, malah menganggap apa yang dialaminya hanya luka kecil, hubungan yang mesra antara Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah dengan bekas Perdana Menteri itu sekarang dan Tun Mahathir juga menerima mereka seadanya, hakikatnya tiada apa-apa isu lagi tentang hubungan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Begitu juga pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan lain yang pernah dipenjara atau dikenakan tindakan lain semasa era kepimpinan Tun Mahathir, mereka turut menunjukkan jiwa besar dengan sedia memaafkan apa yang pernah berlaku kepada mereka dahulu.

Ia bukan saja kerana mereka sama-sama menyedari bahawa Najib jauh lebih penting untuk disingkirkan daripada memikirkan kesalahan lalu Tun Mahathir, malah ianya jua akan dijadikan ramuan penting untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.

Dengan beberapa bukti di atas, tuntutan Hadi bahawa Tun Mahathir perlu bertaubat dan meminta maaf sebenarnya tidak lagi berbangkit. Selain Tun Mahathir sudah melakukannya, pihak yang terlibat turut memaafkannya.

Sebaliknya, terlanjur Hadi sendiri mengungkit kezaliman lama Tun Mahathir, apakah beliau sendiri pernah bertaubat dan meminta maaf berhubung kezalimannya kepada umat Islam dengan mengeluarkan "Amanah Hadi"  pada tahun 1981 dahulu?
Tidakkah beliau sedar melalui amanatnya itulah umat Islam negara ini berpecah, ramai yang taksub dan menjadi ekstrem, berlakunya kejadian sembahyang dua imam, kafir-mengkafir, memulaukan kenduri-kendara, tidak makan sembelihan sesama Islam yang berlainan parti dan sehingga kepada bercerai-berai dalam rumahtangga?

Berdasarkan kesan daripada amanat tersebut masih berlarutan sehingga sekarang dan Hadi sekarang sudah berbaik-baik dengan Najib dan UMNO, bukankah lebih baik jika beliau turut sama bertaubat dan meminta maaf kepada ahli-ahli UMNO berhubung perkara itu?

Jika pun Hadi tidak mahu bertaubat dan meminta maaf, apakah orang-orang UMNO sendiri pernah memaafkannya seperti mereka yang terkesan dengan tindakan Tun Mahathir yang sedia memberi kemaafan?

Atau, kiranya Hadi masih berpegang kepada amanatnya itu, beranikah beliau mengulangi membacanya di mana-mana ceramah Pas selepas ini?

Jadi, sebelum Hadi meminta Tun Mahathir bertaubat dan meminta maaf, suatu perkara yang sebenarnya sudah pun lebih awal dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu, ada baiknya Presiden Pas menujukan kata-kata tersebut kepada dirinya sendiri. 

Barulah ia dinamakan cakap serupa bikin sepertimana yang dituntut oleh Islam. (ShahbudinHusin 21/10/2017).

Subscribe to receive free email updates: