Ada seorang budak lelaki. Hidupnya agak susah. Dia pernah dihantar ke sekolah. Namun, hanya bertahan beberapa bulan. Malah, kata si guru, budak lelaki itu seorang murid bodoh dan tidak mampu memahami apa yang diajar.
Hanya ibunya yang mengajar budak lelaki itu membaca, menulis dan mengira di rumah.
Budak itu bukan datang daripada keluarga mewah. Sudahlah sekolah tidak kesampaian, di usia 12 tahun, dia sudah mengerah keringat untuk bekerja. Budak lelaki itu menjual surat khabar, gula-gula dan buah-buahan di tepi rel kereta api.
Kesannya, telinga budak itu mengalami masalah. Dia jadi separuh pekak kerana bunyi kuat dari kereta api telah menjejaskan gegendang telinganya. Kata budak itu, dia tidak pernah dapat mendengar burung-burung berkicauan sejak usianya 12 tahun.
Namun, budak itu tidak pernah berhenti berusaha. Hasil dia berjualan, dia membeli sebuah mesin cetak kecil. Sewaktu usianya 15 tahun, dia telah mencetak naskhah surat khabarnya sendiri dan dijual di stesen kereta api tersebut.
Kemudian, dia mendapat kerja sebagai pengirim telegraf. Selama empat tahun bekerja, kesemua gajinya dilaburkan untuk membina sebuah makmal kecil dengan pelbagai peralatan elektrik.
Di situ, dia melakukan bukan puluhan, tapi ribuan eksperimen. Tidurnya hanya empat jam setiap hari. Hasilnya, penemuannya seperti lampu mentol, gramofon dan filem untuk kamera menjadi pencetus kebangkitan industri elektrik dan rakaman yang memberi impak besar terhadap kehidupan manusia.
Siapa budak lelaki yang dikatakan bodoh oleh gurunya itu? Ya, dia Thomas Alva Edison!