Tatapan Terakhir Sandra kabarmalay3.blogspot.com

Tatapan Terakhir Sandra
Kuala Lumpur: Penyanyi, Neeta Manisha, 26, mengakui pemergian Allahyarham Sandra Dianne satu kehilangan besar dalam dirinya selain menyifatkan arwah seorang sahabat berjiwa besar dan mulia pekertinya.



Neeta berkata, banyak perkara yang pernah dirancang bersama arwah tidak kesampaian namun dia bersyukur sempat meluangkan masa berada di sisi Sandra sebelum penyanyi Hey! Kau itu menghembuskan nafas terakhir semalam.


"Walaupun terpaksa menahan kesedihan, saya bersyukur sempat berada di sisi arwah sewaktu saat-saat terakhirnya. Saya sempat peluk cium, memegang tangan dan bercakap kepadanya.

"Mana saya nak cari sahabat seperti Sandra? Dia adalah satu dalam sejuta. Setiap kali lepak dengannya, saya memang sangat menyenangi keperibadiannya yang sangat mulia.

"Bahkan, dia sepatutnya antara orang penting yang wajib hadir jika saya berkahwin suatu hari nanti. Banyak perkara lain lagi yang tidak kesampaian untuk dilakukan bersama arwah," katanya.

Penyanyi Ruang Mimpi itu juga mengakui sangat terkesan namun reda apabila rakan karibnya itu dijemput Ilahi lebih awal.

"Sejujurnya, saya masih dalam proses menenangkan hati untuk menerima kenyataan ini. Saya terlalu rindukan Sandra dan masih belum puas meluangkan masa bersamanya dalam persahabatan kami.

"Sepatutnya masih banyak yang lebih besar menantinya di hadapan namun dia pergi terlalu awal. Apapun, saya mohon semua agar mendoakan rohnya tenang di sana," katanya.

Terdahulu, Sandra yang juga peserta program Big Stage 2020 disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas terbabit kemalangan pada Sabtu lalu di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah kira-kira jam 6 petang, semalam. 

Subscribe to receive free email updates: