KISAH seorang gadis yang dirasuk gara-gara membawa pulang batu sungai di Lahad Datu, Sabah menarik perhatian ramai netizen di Twitter.
Menurut Kuya Azlan Azkil, dia terpanggil untuk mengimbas semula kisah sekitar lima tahun lalu itu bagi memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengulangi kesilapan sama.
Berlaku kepada rakan sekampungnya, pemuda berusia 21 tahun yang mesra disapa Kuya mengakui peristiwa itu masih lagi segar di ingatan sehingga ke hari ini.
"Dah lama berlaku, masa zaman saya sekolah menengah, sampaikan dah jadi perbualan sekampung. Ditambah pula, Lahad Datu memang terkenal dengan kisah-kisah mistik.
"Untuk penduduk Lahad Datu, kisah macam tu tak asing. Saya pun dah terbiasa, memang membesar dengan benda-benda mistik," ujarnya kepda mStar.
Dalam perbualan itu, Kuya sempat memperincikan semula kisah seram itu yang mana ia turut memberi kesan buat ahli keluarganya.
Akibat gangguan berterusan, mereka juga terpaksa memanggil pengamal perubatan untuk memberi rawatan buat gadis itu.
Kuya mengimbas semula kisah lama itu sehingga ia tular di Twitter.
"Kawan saya tu pergi mandi sungai, terjumpa batu dan bawa balik. Sampai je kat rumah, cakap sendirian dan seminggu tak keluar bilik.
"Jarang makan, nak menyepi. Selalu cakap dia dah ada kawan baharu. Lepas tu mak dia pun peliklah, sebab dia suka tengok cermin lepas tu senyum sendiri.
"Mak dia hairan juga, muka kawan saya tu kadang-kadang bertukar, kalau kat cermin nampak lain," jelas Kuya.
Kawan saya dah terikat dengan jin itu dan tak boleh dipisahkan melainkan jika cari tuan yang lama tu.
KUYA AZLAN AZKIL
Tambahnya lagi, suara gadis itu juga berubah sehinggalah seorang ustaz dipanggil untuk 'berubat' seminggu kemudian.
Malah kata Kuya, rakannya juga menjerit dan ketawa kuat bagaikan dirasuk sewaktu dirawat oleh pengamal perubatan berkenaan.
"Masa ustaz datang ke rumah, ustaz tu pun mengucap bila jejak kaki dekat rumah tu. Sebab ustaz tu kata rumah tu gelap dan hitam.
"Bila ustaz masuk je dalam bilik, kawan saya terus jerit dan ketawa. Macam pontianak nak beranak. Paling mengejutkan masa tu, keluarga dia juga dirasuk.
Jelas Kuya, rakannya dirasuk selepas membawa pulang batu yang didakwa mempunyai kaitan dengan saka. (Gambar Hiasan)
"Tak menang tangan ustaz tu nak rawat sampai kena panggil geng ustaz lain. Saya hanya mampu lihat dari jauh.
"Masa berubat tu ustaz buatlah soal siasat dengan kawan saya yang kerasukan tu, ustaz tanya kenapa ganggu kawan saya?" kata Kuya.
Tambah Kuya, jin yang masuk ke tubuh kawannya itu menggelarkan dirinya sebagai Mawar dan mengaku mendekati gadis itu selepas dia mengutip batu dari sebatang sungai.
Difahamkan, batu berkenaan merupakan saka yang dibuang oleh pemilik asalnya.
"Rupa-rupanya batu yang dia kutip tu adalah saka yang dibuang orang. Member saya kutip sekaligus menjadi 'tuan' jin itu.
Rakan Kuya dirasuk teruk sehingga pengamal perubatan terpaksa dipanggil untuk merawatnya.
"Sebab itu dia ikut, sebab kawan saya dah jadi tuan baharunya. Ustaz kata pada mak ayahnya, kawan saya dah terikat dengan jin itu dan tak boleh dipisahkan melainkan jika cari tuan yang lama," ujarnya.
Kata Kuya lagi, rakannya juga terpaksa berhenti sekolah akibat berterusan mengalami gangguan mistik.
Ujar Kuya yang sudah berpindah ke Kuala Lumpur, dia tidak tahu bagaimana keadaan kawannya itu sekarang dan hanya mendoakan yang terbaik untuknya.
Namun dia mendapat perkhabaran bahawa rakannya sudah sihat dan mampu menjalani kehidupan normal.