Lim jangan jadi 'kaduk naik junjung', mohon maaf dalam BM kabarmalay3.blogspot.com

25 Jun ― Umno Johor menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar lebih peka apabila mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin.
Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menggunakan bahasa selain Melayu untuk urusan rasmi "sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan" bahasa Melayu.
"Kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini. Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai 'kaduk naik junjung'.
"Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas," katany dalam kenyataannya hari ini.
Bekas menteri besar itu mengulas tindakan Lim mengeluarkan kenyataan Mandarin sewaktu menjelaskan alasan menggunakan tiga bahasa, termasu Melayu dan Inggeris, dalam kenyataan sebelumnya.
Menyifatkan tindakan itu "tragedi yang menyedihkan" kepada bahasa Melayu, Khaled juga menggesa Lim merujuk jabatan kerajaan untuk kepastian.
Beliau mendakwa pemimpin utama DAP itu "sengaja mahu menunjukkan keangkuhan dan sikap semberono beliau" ketika menjalankan urusan rasmi.
Bekas menteri itu turut menggesa Lim memohon maaf secara terbuka kepada umum "dalam bahasa Melayu."
KADUK NAIK JUNJUNG

Bagai kaduk naik junjung dalam peribahasa Melayu membawa maksud orang hina yang dimuliakan atau mendapat keistimewaan sehingga dia lupa diri dan asal usulnya. 

Sebenarnya peribahasa ini tercipta daripada permerhatian orang lama tentang alam dan kehidupan.

Pokok kaduk dibandingkan dengan sirih yang mempunyai ciri dan bentuk pokok yang serupa. Sirih jenis pokok memanjat manakala kaduk tumbuh melata di atas tanah.

Pokok sirih yang ditanam biasanya dipasang kayu pancang (dikenali sebagai junjung) untuk membolehkan pokok sirih memanjat dan mencengkam kayu pancang. 

Pokok kaduk lebih kecil tetapi sifatnya berdikari kerana ia tidak memerlukan kayu pancang sebagai sokongan untuk berdiri tetapi apabila ada junjung disebelahnya, ia akan menggunakan junjung tersebut. 

Kaduk akan membesar bersama junjung dan terlupa seandainya junjung patah atau rebah, ia turut sama rebah kerana batang pokok kaduk sudah tidak dapat menanggung berat yang selama ini disokong oleh junjung. 

Selagi ada junjung, kaduk terus lupa diri... Dalam kehidupan kita, ada yang bersifat seperti kaduk naik junjung ini.

Subscribe to receive free email updates: